PASANGAN pengantin baru diarak dengan kereta klasik dan basikal tua pada majlis resepsi di Dewan Sri Rembau,. FOTO Azrul Edham
PASANGAN pengantin baru diarak dengan kereta klasik dan basikal tua pada majlis resepsi di Dewan Sri Rembau,. FOTO Azrul Edham
Ahmad Hasbi

Rembau: Pasangan pengantin baru mencipta kenangan unik pada hari bahagia mereka apabila diarak menaiki kereta klasik sambil diiringi 20 basikal tua hari ini.

Dalam majlis resepsi yang diadakan di Dewan Sri Rembau itu, Nurul Syahirah Ruslan, 32, dan pasangan, Muhammad Khairil Roslan, 24, diarak menggunakan kereta model Mini Moke sejauh 500 meter dari Taman Sri Rembau.

Bapa pengantin perempuan, Ruslan Rusli, 60, berkata, dia adalah peminat barangan antik dan memang berhasrat untuk menerapkan elemen klasik dalam perkahwinan anaknya.

"Saya memang sudah lama menyimpan hasrat untuk adakan majlis seperti ini namun tiga daripada empat anak sudah mendirikan rumah tangga, jadi ini majlis yang terakhir bagi anak, jadi saya mahu tunaikan juga.

"Sebelum ini, saya pernah beberapa kali mengikuti program basikal klasik ini sebelum bertemu dengan seorang rakan yang mengumpul basikal tua dan meluahkan hasrat ini," katanya ditemui.

Ruslan yang juga pesara guru berkata, dia juga merancang untuk menyewa beca bagi upacara perarakan, namun kenderaan itu sukar didapati sebelum menyewa kereta antik tanpa bumbung milik kenalan.

"Untuk basikal tua pula, saya sangat berterima kasih kepada komuniti mereka kerana difahamkan, ada yang sanggup datang dari Kuala Lumpur semata-mata untuk menjayakan acara ini walaupun tidak diberikan bayaran," katanya.

Nurul Syahirah yang bekerja sendiri diakad nikah dengan pasangannya, seorang kakitangan awam jam 10 pagi semalam, di Masjid Jamek An-Nur Rembau di sini.

Sementara itu, pemilik basikal yang juga Pengerusi Peminat Basikal Tua Rembau Abd Latip Alias, 63, berkata, Ruslan berjumpanya dan menyampaikan keinginannya itu sebelum dia mengumpulkan rakan lain.

"Saya memiliki 20 basikal klasik pelbagai model yang dikumpul sejak lapan tahun lalu. Pada mulanya, kami merancang untuk berarak dengan mengayuh empat basikal sahaja namun selepas diwar-warkan dalam kumpulan aplikasi WhatsApp, ramai yang mahu menyertainya.

"Kami berbesar hati dapat menunaikan hasrat Ruslan selain pada masa sama, dapat juga mempromosikan basikal klasik ini yang mempunyai pelbagai nilai sentimental," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 3:33 PM