KELUNAKAN suara Mohamad Nazmi Tamin mengalunkan selawat taslim mendapat pujian warganet. FOTO Ihsan Mohamad  Nazmi Tamin
KELUNAKAN suara Mohamad Nazmi Tamin mengalunkan selawat taslim mendapat pujian warganet. FOTO Ihsan Mohamad Nazmi Tamin
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Kelunakan suara Koperal Mohamad Nazmi Tamin mengalunkan selawat taslim dengan penuh syahdu mencuri perhatian warganet selepas videonya tular di laman sosial.

Menerusi video berdurasi dua minit 40 saat, Mohamad Nazmi, 31, dilihat mengalunkan selawat di sebuah majlis perkahwinan ketika menyambut pengantin berarak ke pelamin.

Berkongsi kisah di sebalik video itu, Mohamad Nazmi yang bertugas di Maktab Tentera Diraja Sungai Besi, di sini berkata, video tular itu dirakam oleh isterinya, Nur Aniza Ahmad, 29, dan saja dimuat naik di TikTok untuk kenangan.

"Waktu itu, saya datang ke kenduri jiran yang juga sepupu kepada isteri dan pakai biasa sebab bantu rewang.

"Tapi tuan rumah sudah maklum awal untuk minta saya selawat jadi saya pun bantu waktu sambut ketibaan pengantin.

"Selesai majlis, saya muat naik video kerana tengok macam okay dan tak sangka pula tular hingga meraih lebih 4.4 juta tontonan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bapa tiga anak itu berkata, kebanyakan komen diterima adalah positif namun ada segelintir mempersoalkan penampilannya ketika mengalunkan selawat.

"Ramai puji (puji) tapi ada juga tanya di ruangan komen mengapa pakai baju itu (baju T) mungkin kerana mereka nampak kurang sesuai.

"Saya sudah terangkan pada video berasingan namun apa pun, saya ucapkan terima kasih kepada yang beri kata positif. Syukur dan bagi saya, suara ini anugerah dan hanya pinjaman Allah SWT," katanya.

Mohamad Nazmi, banyak juga tawaran dan undangan hadir ke majlis untuk berselawat yang diterimanya selepas videonya tular.

"Saya memang minat berzanji, nasyid dan berselawat sejak sebelum menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lagi.

"Cuma tak ada guru pun yang mengajar bertaranum dan selepas masuk ATM sudah dapat undangan hadir ke majlis untuk berselawat.

"Banyak juga tawaran dari Johor dan utara tanah air tapi terpaksa tolak kerana jarak lokasi yang jauh," katanya yang bertugas di Jabatan Arah Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 8:02 PM