PENUMPANG terutama wanita berasa lebih selamat menggunakan khidmat kekeh berbanding teksi-motosikal.
PENUMPANG terutama wanita berasa lebih selamat menggunakan khidmat kekeh berbanding teksi-motosikal.
KEKEH jadi kenderaan awam yang lebih selamat dan mengurangkan kadar kemalangan.
KEKEH jadi kenderaan awam yang lebih selamat dan mengurangkan kadar kemalangan.
KEHADIRAN kekeh atau  tuk-tuk mudahkan kehidupan pemandu dan penumpang.
KEHADIRAN kekeh atau tuk-tuk mudahkan kehidupan pemandu dan penumpang.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Kenderaan roda tiga yang menyebabkan keributan lalu lintas di Mumbai, Jakarta dan Bangkok yang terkenal dengan kesesakannya kini sudah sampai ke Afrika. Kedatangannya tidak sekadar memeriahkan sistem pengangkutan awam di Liberia kerana ia turut membawa dua bonus tambahan menyediakan pekerjaan dan mengurangkan kemalangan.

Ternyata kedatangannya disambut baik kerana ia jauh lebih murah dan selamat berbanding teksi-motosikal tradisional. Tidak hairanlah jika bandar Monrovia, ibu kota Liberia yang sememangnya sesak semakin meriah diwarnai oleh kenderaan roda tiga ini.

Nama untuk kenderaan roda tiga ini memang banyak. Jika di Ethiopia dan Tanzania, dia dipanggil bajaj dan penduduk Mesir memanggilnya ‘toktok’. Ia dikenali sebagai ‘keke-marwa’ di Nigeria, ‘raksha’ (Sudan) dan apabila tiba di Liberia, tuk-tuk diberikan nama baru, ‘kekeh’.

Teksi-motosikal (motorsikal yang dijadikan teksi) sejak dulu menjadi pengangkutan awam di Monrovia sehinggalah kerajaan mengharamkan penggunaannya pada 2013 kerana bimbang dengan cara tunggangan semberono dan berbahaya selain mengekang kadar kemalangan yang tinggi.

Pengharaman itu secara tidak langsung memberi laluan kepada kekeh yang diimport dari India dan China oleh banyak pengusaha kebanyakannya dari Nigeria dan Guinea untuk mengupah warga muda sebagai pemandu.

“Dari sudut cabaran besar dalam sistem pengangkutan awam di negara ini, kita dapat lihat betapa pentingnya kenderaan seperti kekeh,” kata Setiausaha Agung Persatuan Motosikal dan Trisikal Liberia (LIMTCA) Jenkins Zayzay.

“Kami pernah ada kenderaan dua roda yang beroperasi di bandar ini, tetapi oleh kerana kerajaan sudah mengeluarkan peraturan mengharamkannya, kami perlu mencari satu kenderaan baru yang boleh menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda. Inilah sebabnya kami bercadang memperkenalkan kekeh,” katanya.

India mengeluarkan kira-kira 800,000 beca berenjin setiap tahun dan lebih satu pertiga daripadanya digunakan di negara lain. Beca TVS King India itu yang kini ‘bekerja’ di 30 negara Afrika mempunyai enjin 200cc, satu silinder dengan empat lejang menggunakan minyak petrol atau gas asli.

Huasha, yang beribu pejabat di Jiangmen di selatan China pula mengeluarkan beca berenjin versinya sendiri yang kelihatan seperti motor menarik treler penumpang beroda dua.

Menurut LIMTA, setakat ini kehadiran kekeh memberi peluang pekerjaan kepada 5,000 penduduk Monrovia yang kehilangan pekerjaan apabila teksi-motosikal diharamkan.

“Ia sangat membantu ekonomi kami. Pertama, ia menjana pendapatan untuk kerajaan dan pada masa sama membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda,” kata Zayzay.

Kekeh baru dijual pada harga RM14,390 atau boleh disewa pada kadar RM103 sehari.

Menurut pengusaha, kenderaan roda tiga itu dipantau ketat di bawah kod lebuh raya dan jumlah penumpang yang boleh dibawa. Usaha ini ternyata dapat mengurangkan jumlah kemalangan.

Ada banyak faktor yang menyumbang kepada kemerosotan positif itu antaranya kelajuan kekeh yang lebih perlahan berbanding teksi-motorsikal dan adanya dinding besi pada tempat duduk penumpang untuk perlindungan tambahan.

Menurut satu kenyataan Polis Nasional Liberia, jumlah kemalangan motorsikal menurun 90 peratus sejak undang-undang pengharaman teksi beroda dua dikuatkuasakan walaupun tiada angka khusus bagi menyokong laporan itu.

Pada kadar tambang RM1 bagi satu perjalanan, penumpang mempunyai lebih akses kepada kenderaan ini berbanding teksi tradisional kerana ramai terpaksa berjalan jauh untuk sampai ke tempat kerja.

“Saya menggunakan perkhidmatan kekeh setiap hari dari rumah ke tempat berniaga dan balik ke rumah,” kata peniaga, Akoi Jallah.

Badan pemantauan yang dinamakan Jawatankuasa Pelaksanaan Bersama juga mengadakan bengkel khas di Monvoria untuk pemandu kekeh mengajar mereka kaedah pemanduan selamat.

Menurut pemandu kekeh, Francis Mulbah, 23, yang mengeliling pasar Redlight untuk mendapatk\an penumpang, kira-kira 1,000 kekeh beroperasi di Monvoria dan setiap satu dibenarkan membawa tiga penumpang pada satu-satu masa.

‘Ke bandar..ke bandar... siapa mahu pergi ke bandar? Ada dua tempat kosong,” jeritnya cuba menarik perhatian penumpang sebelum menyambung perbualan. Dia mengakui, kekeh membawa banyak perubahan dalam hidupnya.

“Apabila kerajaan mengambil keputusan menghentikan perkhidmatan teksi-motosikal, ramai hilang pekerjaan. Tetapi saya tetap yakinkan diri sendiri saat yang sukar itu pasti berlalu. Kini Tuhan masih membantu saya untuk berbakti kepada negara,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 11:44 AM