Zaid Salim


Kuala Terengganu: Panas terik bukan halangan bagi golongan penarik beca untuk berkayuh mencari rezeki biarpun keringat membasahi tubuh.

Apa pun keadaan cuaca, ia sudah sebati dengan kehidupan sebagai penarik beca walaupun rata-rata mereka sudah berada di hujung usia.

Abdul Razak Husin, 72, dari Kampung Gong Tok Nasek, di sini, berkata samada hujan, panas atau ribut, ia sudah menjadi perkara biasa bagi golongan penarik beca.

"Sebut saja 'orang beca', panas, hujan, ribut, mereka tetap keluar berkayuh mencari rezeki demi keluarga.

"Orang beca ni banyak 'hutang'. Setiap hari kita 'berhutang' dengan anak-anak yang perlukan duit untuk ke sekolah. Jadi cuaca bukan alasan bagi saya dan rakan penarik beca lain untuk keluar bekerja demi anak-anak," katanya ketika ditemui di kawasan Pasar Besar Kedai Payang, di sini, hari ini.

Bapa kepada lapan anak yang mesra dengan panggilan Pak Long berkata, dia mengayuh beca ketika berusia 18 tahun dan sehingga kini tidak berhenti mengayuh walaupun semua anaknya sudah mampu berdikari.

Jelasnya, mengayuh beca sudah menjadi rutin dalam kehidupan sehariannya selain menganggap mengayuh kenderaan roda tiga itu sebagai satu aktiviti senaman.

POHOT (kiri) membetulkan tayar beca milik Mamat yang mengalami kebocoran di kawasan Pasar Besar Kedai Payang. FOTO ZAID SALIM
POHOT (kiri) membetulkan tayar beca milik Mamat yang mengalami kebocoran di kawasan Pasar Besar Kedai Payang. FOTO ZAID SALIM

"Kita sudah biasa berkayuh jadi kalau duduk sahaja di rumah, badan jadi lesu, lagipun kalau keluar (bekerja) boleh juga bertemu dan bertanya khabar dengan rakan-rakan.

"Kita orang beca ni ibarat satu keluarga, susah senang kita kongsi bersama. Ini adalah tradisi orang beca sejak dahulu lagi," katanya.

Bagi Pohot Salleh, 68, sejak menceburi kerjaya itu pada usia 22 tahun, dia tidak pernah bertukar pekerjaan lain meskipun terpaksa merempuh pelbagai keadaan cuaca risiko kemalangan ketika berada di atas jalan raya.

Sependapat dengan Abdul Razak, dia yang tinggal di Kampung Mengabang Tengah, di sini, berkata, penarik beca sudah lali dengan pelbagai keadaan cuaca.

"Contoh seperti sekarang, cuaca sangat panas dan kerajaan menyarankan supaya mengelak daripada melakukan aktiviti luar kerana berisiko kepada kesihatan terutama golongan kanak-kanak dan warga tua.

"Tetapi Allah memberi kesihatan yang baik kepada orang beca, walaupun sudah berada di hujung usia, tetapi masih ada kekuatan untuk mengayuh membawa penumpang," katanya.

Bercerita mengenai pendapatan, Pohot berkata, hasil daripada pekerjaan itu tidak menentu iaitu antara RM5 hingga RM20 ringgit sehari.

"Orang sekarang sudah mempunyai kenderaan sendiri tidak seperti dahulu, beca menjadi kenderaan utama untuk membawa barangan selain penumpang.

"Kini perkhidmatan beca hanya membawa penumpang dari Pasar Payang ke stesen bas sahaja yang jaraknya kira-kira satu kilometer dengan tambang sebanyak RM5.

"Adakalanya kami hanya 'makan angin' kerana langsung tiada pendapatan kerana tiada pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 9:50 AM