TAYYABA (kanan) mengajar rakannya cara mengendalikan motosikal.
TAYYABA (kanan) mengajar rakannya cara mengendalikan motosikal.
WANITA Pakistan belajar menunggang untuk cari rezeki dan elak gangguan lelaki.
WANITA Pakistan belajar menunggang untuk cari rezeki dan elak gangguan lelaki.
SEMAKIN ramai wanita belajar kendali kenderaan untuk berulang-alik ke tempat kerja.
SEMAKIN ramai wanita belajar kendali kenderaan untuk berulang-alik ke tempat kerja.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Dalam kesesakan lalu lintas yang menjerut jiwa di Lahore, Tayyaba Tariq dengan senang hati meluncur laju menunggang motosikal barunya untuk ke tempat kerja.

Mengenakan seluar denim dan jaket berwarna terang serta topi keledar putih yang tersemat kemas, pelajar berusia 22 tahun itu turut mewarnai gelombang baru di Pakistan apabila pemandu wanita di negara itu melangkau sempadan ditetapkan lelaki untuk mereka.

Memang sukar untuk lelaki Pakistan menerima kehadiran semakin ramai pemandu wanita sama ada yang menunggang motosikal, menaiki teksi (trak yang diubah suai) atau beca bermotor bagi mencari nafkah.

Di negara yang masih kuat mengamalkan diskriminasi gender itu, hak wanita memang sering dipinggirkan. Namun wanita Pakistan tidak berhenti memperjuangkan hak mereka. Ini termasuk mengadakan kempen yang menuntut supaya mereka diberikan lebih akses di tempat awam seperti makan di gerai tepi jalan dan berada di atas jalan raya yang sering dinafikan.

Isu ini bagaimanapun sering dipandang sebelah mata kerana hampir tiga perempat wanita Pakistan tidak terbabit dalam pasaran buruh. Ada banyak faktor yang menghalang pembabitan wanita dalam dunia pekerjaan. Berdasarkan kajian Organisasi Buruh Antarabangsa, antara faktor utama ialah kekurangan pengangkutan yang selamat untuk wanita berulang-alik ke tempat kerja.

“Jika remaja perempuan belajar menunggang motosikal, mereka boleh bergerak bebas dan tidak bergantung kepada sesiapa,” kata Tayyaba yang menunggang sejauh 25 kilometer sehari ke sempadan India dan bekerja sebagai pegawai kastam. Malah baginya, motosikal lebih menjimatkan berbanding memandu kereta.

Kini semakin ramai wanita yang tampil untuk belajar mengendalikan kenderaan. Menurut anggota polis trafik di Lahore, Sajjad Mehdi, dia sudah melatih hampir 50 wanita untuk menunggang motosikal. Malah katanya, ada ramai wanita yang belajar sendiri cara menunggang motosikal dengan bantuan rakan.

Kerajaan di wilayah Punjab juga sedar kepentingan untuk wanita mempunyai kemahiran ini. Pada November lalu, kerajaan melancarkan kempen kesedaran dengan tema ‘Women on Wheel’ yang mengetengahkan pelbagai bentuk keganasan dan gangguan jalanan yang dialami wanita bagi membuka mata dan fikiran masyarakat.

Dalam kempen itu, 150 wanita yang sudah menamatkan program latihan menunggang di bawah kendalian pihak polis, menunggang beramai-ramai dalam satu acara yang turut dihadiri pegawai diplomat dan peguam hak asasi manusia. Pada majlis itu sebanyak 1,000 skuter subsidi berwarna merah jambu diserahkan kepada kepada wanita berkerjaya dan pelajar di bawah skim yang sama.

Beca merah jambu

Wanita seperti Tayyaba mungkin boleh mengelakkan gangguan lelaki dengan meluncur laju di celah kesibukan jalan raya. Namun bagi wanita yang menggunakan kenderaan awam seperti beca, ramai yang tidak bernasib baik kerana terperangkap dalam kenderaan kenit bersama pemandunya (lelaki). Keadaan ini membuatkan perjalanan pendek terasa lama dan tidak menye­nangkan.

Bagi Zar Aslam, penyelesaiannya amat jelas iaitu mengadakan beca khas untuk wanita yang dipandu oleh wanita. Ia secara tidak langsung akan memperkasakan kedua-dua belah pihak, si penumpang dan pemandu yang sama-sama perlu mencari rezeki.

Untuk itu, Aslam melancarkan skim Beca Merah Jambu pada 2014. Bermula dengan lima beca, kini beca khas untuk wanita itu bergerak megah di jalan raya sejak Oktober tahun lalu.

“Kami cuba membantu wanita menjadi usahawan, pengusaha dan pemilik beca. Semua wanita yang berumur 18 tahun ke atas dan di bawah 102 tahun boleh memandu beca kami. Kami tidak memilih kasta atau latar belakang. Semuanya layak. Sesetengah wanita belajar memandu kerana mereka terpaksa bekerja untuk menyara keluarga,” kata pelakon, Nadia Jameel yang dilantik menjadi duta skim berkenaan.

Selain gangguan lelaki, wang juga menjadi pendorong utama Shamim Akter untuk menjadi wanita pertama memandu trak yang amat terkenal di Pakistan. Traknya dihias ceria untuk menarik perhatian pelanggan.

Ditinggalkan suami selepas melahirkan anak kelima, selama bertahun-tahun Shamim terpaksa melakukan pelbagai jenis pekerjaan untuk menyara keluarganya sebelum memberanikan diri menjadi pemandu trak yang membuatkan namanya tercatat dalam sejarah.

Kini wanita berusia 53 tahun itu bekerja siang dan malam untuk mengangkut batu-bata ke Islamabad.

“Suami tidak lagi tinggal bersama kami, dia tinggal bersama isteri keduanya. Jadi sebagai ibu, sayalah yang perlu menanggung semua perbelanjaan keluarga,” katanya.

Mulanya dia belajar memandu kereta sebelum beralih kepada kenderaan berat dan lulus ujian untuk mengendalikan bas metro yang beroperasi di Islamabad. Bagaimanapun, kerajaan tidak menawarkan pekerjaan kepadanya kerana tiada polisi untuk mengambil pemandu wanita bekerja.

Bagaimanapun, Shamim tidak putus asa dan mencuba nasibnya di syarikat trak pula.

“Saya diberikan upah sebanyak 1,000 rupee (RM44) untuk satu perjalanan di luar Islamabad,” katanya.

Jumlah perjalanan yang diterima pula berbeza, tetapi dia berkata, pendapatannya setiap bulan jauh lebih rendah daripada gaji purata pekerja di Islamabad.

“Memang langsung tidak seperti yang saya jangka, tetapi saya tidak boleh duduk diam begitu saja. Jika kami perlukan 10,000 rupee dan cuma dapat 7,000 rupee, saya anggap itu lebih baik daripada tiada wang langsung,” katanya.

Mempunyai kemahiran memandu diharap dapat merangsang ekonomi wanita, tetapi mereka perlu bersabar menunggu masyarakat mengubah pandangan terhadap pemandu wanita. Ini termasuk di Lahore sendiri, bandar yang dikatakan paling maju di Pakistan.

“Selalu juga lelaki mengekori kami dengan motosikal mereka. Mereka fikir orang perempuan tidak boleh menunggang motosikal dan apabila menyedari kebolehan kami, mereka pula yang takut. Untuk lelaki seperti ini, saya ingin berpesan, jangan sesekali pandang rendah pada wanita,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 5:00 AM