KESERASIAN unsur penting persembahan drumline.
KESERASIAN unsur penting persembahan drumline.

Oleh Rosyahaida Abdullah

[email protected]

Kebolehan bermain dram dengan baik tanpa sebarang kesilapan pada usia belasan tahun sesuatu yang me­ngagumkan.

Tidak semua remaja menguasai kemahiran itu malah untuk menghasil­kan sendiri alunan kreatif memerlukan bakat dan kesungguhan berterusan.

Mendengar formasi bunyi berharmoni dimainkan pasukan drum­line, ia memperlihatkan persembahan lebih menarik menerusi pergerakan yang seirama dengan rentak lagu.

Menyeragamkan bunyi­ sesama ahli pasukan seakan pancaragam profesional juga kelihatan sukar tetapi bagi Muhd Hazwan Nasution, 17, berlatih sendirian pun memadai baginya beraksi sewaktu bermain bersama.

Pemain dram getar (snare) bagi pasukan drumline Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) St John di Kuala Lumpur itu kerap bermain sendiri di rumah bagi me­ngasah kemahiran menggunakan dram khusus untuk latihan.

Boleh dianggap beruntung kerana mendapat tunjuk ajar abang yang turut bermain dram, tidak hairan jika Muhd Haz­wan beberapa kali menjuarai kategori solo pertandingan drum­line. Terbaharu, dia berjaya pada pertandi­ngan drumline dan color guard sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2016 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, bulan lalu anjuran Persatuan Pancaragam Malaysia (PPM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

Muncul dengan aksi solo terbaik pada pertandingan itu yang juga kali kedua berturut-turut buatnya menerima gelaran terbabit, Muhd Hazwan bagaimanapun mengakui sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dia berlatih bersama rakan sepasukan di sekolah bagi memastikan keserasian.

“Saya memang meminati muzik dan mula bermain dram sejak di tingkatan satu lagi. Disebabkan itu, berlatih menjadi sesuatu yang menyeronokkan dan mudah bagi saya.

“Cuma setakat ini, saya tidak terfikir untuk menjadikannya karier. Cukuplah sekadar hobi sambil menjana pendapatan sampingan,” katanya yang berhasrat menyertai tentera laut selepas tamat pengajian kelak.

Antara pencapaian lain Muhd Hazwan ialah dipilih membuat persembahan di Indonesia pada 2014 dan memenangi tempat ketiga drumline berpasukan pada Kejuaraan Muzik Dunia Thailand, tahun lalu.

Selain Muhd Hazwan, turut menyertai pertandi­ngan kategori solo di Dataran Merdeka bulan lalu ialah Nur Atiqah Mahasan, 17, daripada SMK (P) Methodist, Kuantan.

Minat Nur Atiqah terhadap dram dapat dilihat jelas menerusi keberaniannya menyertai kategori solo menyaingi peserta lain yang majoritinya lelaki.

Tidak mungkin putus asa jika tidak berjaya, Nur Atiqah mengakui hanya memanfaatkan peluang yang ada untuk meningkatkan keyakinan diri selain mencuba dalam apa saja keadaan.

“Hampir empat tahun saya bertatih dalam drum­line dan saya mahu terus bermain sehingga berupaya mengajar orang lain pula.

“Alhamdulillah, hari ini (hari acara) pasukan kami berjaya mendapat tempat ketiga kategori berpasukan bagi pering­kat sekolah menengah. Ini menyemarakkan semangat kami untuk lebih

berusaha,” katanya.

Pada pertandingan drumline itu, tujuh pasukan bersaing bagi merebut gelaran juara serta membawa pulang hadiah wang RM1,000 di samping trofi dan sijil penyertaan. Selain juara keseluruhan, hadiah juga diberikan kepada pemenang peringkat sekolah dan terbuka.

PROFIL:

Nama: Muhd Hazwan Nasution

Umur: 17 tahun

Kategori: Drumline

Posisi: Dram snare

Pasukan: SMK St John

Pencapaian: Solo Terbaik Dram pertandingan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2016.

Nama: Muhammad Hafiz Khirudin

Umur: 22 tahun

Kategori: Color guard

Pasukan: Vortex Winterguard

Pencapaian: Ketiga pertandingan color guard 2013

Nama: Sukinah Yacob

Umur: 17 tahun

Kategori: Color guard

Pasukan: Fildusun (SMKP Tun Fatimah)

Pencapaian: Juara color guard antara sekolah 2013, anjuran PPM

Nama: Nur Atiqah Mahasan

Umur: 17 tahun

Kategori: Drumline

Posisi: Dram snare

Pasukan: Waking Up (SMKP Methodist)

Pencapaian: Ketiga Winter Guard International Malaysia 2015

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2016 @ 6:24 AM