BUKIT batu dipanjat pengunjung.
BUKIT batu dipanjat pengunjung.
AKSI hebat pengunjung mencuba aktiviti parkour.
AKSI hebat pengunjung mencuba aktiviti parkour.
Nurul Husna Mahmud


Satu platform unik apabila berpeluang menyertai program ‘Take Out Outdoor Charity Movement’ (TOOCM) di Gua Batu Damai Extreme Park, Batu Caves baru-baru ini.

Bukan satu program keraian untuk peminat sukan lasak semata-mata, TOOCM turut menggalakkan golongan belia menyumbang kepada golongan memerlukan menerusi kupon penyertaan RM30 hingga RM50 dalam mana-mana lima aktiviti disertai sepanjang hari.

Ibarat serampang dua mata, bukan saja acara berkenaan dapat menarik lebih ramai belia, pada masa sama hak golongan memerlukan turut terbela.

Kerjasama daripada beberapa kelab serta operator aktiviti luar

Menurut jurucakap acara berkenaan Rayhan Mohamed, pengunjung boleh memilih lima aktiviti ingin disertai dalam lebih lapan acara disenaraikan bermula 8.30 pagi hingga 5 petang.

“Pengunjung boleh memilih lima acara yang ingin mereka sertai menerusi kupon penyertaan dibeli menerusi dalam talian mahupun ketika datang ke tapak TOOCM.

“Namun buat 300 terawal ada tawaran menarik. Semua kutipan baik gerai mahupun acara dijalankan tidak bermotifkan keuntungan sebaliknya disumbangkan kepada golongan sasaran.

“Kami jangkakan sumbangan atau kutipan 100 peratus ini akan diberi pada rumah kebajikan terpilih seperti PDK Rumah Nur Kaseh, Rumah Nur Sakinah, Perkim Sentul, and Rumah Al Nasuha.

“Tentu saja melihat sambutan pengunjung cukup menggalakkan, aktiviti ini tidak akan berjaya tanpa ada sokongan kuat daripada sukarelawan yang turun padang iaitu mereka daripada komuniti mahupun kelab aktiviti lasak tertentu serta agensi kerajaan selain penaja,” katanya.

Merapatkan hubungan dengan komuniti lain

Bekerja satu bumbung dengan komuniti serta kelab kegiatan luar lain disifatkan satu kelainan buat wakil Awan Adventure Muhammad Hariz Ibrahim.

“Meriah bukan saja dapat beramah mesra dengan pengunjung malah dalam acara ini kita turut bertemu dengan kelab lain menganjurkan program hampir serupa.

“Jadi di situ kita berkongsi skil selain membina hubungan agar mempelbagaikan aktiviti serta lokasi. Acara seperti inilah saya rasa penting dan wajar diketengahkan untuk tahun akan datang kerana kita belajar kaedah berlainan dalam cara mereka mengendalikan sesuatu aktiviti,” katanya.

Dapat membantu selain mencuba aktiviti digemari

Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Nurul Syafikah Junaidi, mengakui sukar melepaskan peluang menyertai karnival terbabit kerana lokasi berhampiran dengan kampusnya.

“Lokasi karnival berhampiran dengan universiti membuatkan ia mesti dihadiri buat saya meminati acara luar. Lagipun hujung minggu lebih terisi dengan perkara bermanfaat.

“Dalam TOOCM, saat yang mencabar ialah memanjat bukit batu dan rasa gayat tetapi berkat galakan jurulatih saya sampai juga ke ‘check point’. Malah banyak acara lain menarik minat saya, antaranya ‘Slackline’, ‘Scope Orienteering’ dan ‘Tree Climbing’.

“Lebih penting selain dapat beriadah, saya gembira hasil kutipan tiket dalam aktiviti ini akan disumbang kepada rumah kebajikan. Jadi acara ini pada saya perlu diteruskan untuk tahun seterusnya,” katanya.

Mahu menarik penyertaan lebih ramai peserta berpotensi

Sudut lain menerusi karnival TOOCM, penggiat sukan alternatif mahupun komuniti tertentu boleh mendekati individu berpotensi untuk menyertai mereka.

Kata atlet parkour Tan Sui Wen Talitha, 22, untuk kumpulan parkour komuniti ini masih kecil terutama penggiat kalangan wanita.

“Kehadiran saya dalam kelibat komuniti sukan parkour ini diharap dapat menarik wanita lain untuk turut sama mencuba.

“Mungkin dilihat lasak dan berisiko, namun andai dipelajari teknik betul di samping berguru dengan atlet berpengalaman, ia jauh lebih selamat selain membantu menjaga kesihatan sendiri,” katanya.

Selain Talitha, Pengurus Karrimor Malaysia Fans Community Mohd Faizal Idris berkata, dalam program sebeginilah dia dapat bertemu secara langsung dengan orang ramai.

“Selain laman sosial, karnival sebegini dilihat dapat mendekati mereka mempunyai minat sama seperti mana ahli lain dalam komuniti kami.

“Mereka boleh tanya secara langsung mahupun bertukar nombor telefon untuk lebih info membabitkan komuniti kami mahupun acara akan datang,”katanya yang sempat mempamerkan lebih tujuh koleksi beg Karrimor buatan United Kingdom (UK) miliknya.

PROFIL:

NAMA: Rayhan Mohamed

UMUR: 26 tahun

ASAL: Kuala Lumpur.

PERANAN: Jurucakap TOOCM

NAMA:Muhammad Hariz Ibrahim

UMUR: 32 tahun

ASAL: Kajang Selangor

PERANAN: Pengendali slot Tree Climbing

NAMA: Nurul Syafikah Junaidi

UMUR: 21 tahun

ASAL: Batu Gajah Perak

PERANAN: Peserta/ Penyumbang

NAMA: Tan Sui Wen Talitha

UMUR: 22 tahun

ASAL: Kuala Lumpur

PERANAN: Atlet Parkour

NAMA: Mohd Faizal Idris

UMUR: 33 tahun

ASAL: Kuala Lumpur

PERANAN: Pengurus Karrimor Malaysia Fans Community

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2016 @ 5:11 AM