SEORANG peserta gembira selepas menjinakkan seekor ikan raja.
SEORANG peserta gembira selepas menjinakkan seekor ikan raja.
PESERTA memancing FCSG bersedia untuk bertolak ke lubuk di Tasik Raban.
PESERTA memancing FCSG bersedia untuk bertolak ke lubuk di Tasik Raban.
D J Dolasoh


Pengisian Fishing Challenge Survival Game (FCSG) bukan sekadar pertandingan memancing buat warga kota juga pengalaman mencabar fizikal dan minda 45 peserta bagi memastikan usaha menyahut cabaran itu berjaya.

Tasik Raban, Lenggong, Perak, dipilih sebagai lokasi kerana ia tidak saja memiliki panorama tasik yang indah dan bukit-bukau menarik, juga mencabar kepada peserta. Menariknya program itu dianjurkan seorang anak muda Freddy Alwis Idris, 25, juga jurutera.

Keserasian beliau dengan alam kerana dibesarkan di kawasan pedalaman di Lenggong dan memperoleh pendidikan di situ menyebabkan dia mampu mengendalikan program julung kali itu.

Menurut Freddy Alwis, peserta memancing menggunakan rakit buluh itu terdiri daripada pekerja swasta, bekerja sendiri dan segelintir kakitangan awam dari Kuala Lumpur yang kurang biasa dengan aktiviti dianggap ekstrem itu.

“Peserta dibahagikan kepada 10 kumpulan dengan dua hingga tiga orang setiap kumpulan bagi membuat rakit buluh untuk dinaiki dan memancing di atasnya selama 10 jam.

“Pada petang sebelum pertandingan memancing, setiap peserta dimestikan mengusung 50 buluh besar dari lori yang diambil dari hutan Kuala Kangsar untuk dijadikan rakit memancing,” katanya.

Freddy juga siswazah Nagaoka University of Technology, Jepun ini berkata, peserta kemudian mengikat buluh di atas tebing tasik untuk dijadikan rakit sehingga tengah malam. Peserta akan berkumpul sebelum jam 7 pagi keesokannya bagi mengusung rakit ke dalam tasik.

Katanya, ada peserta beberapa kali terjatuh sewaktu mengusung rakit ke tasik kerana buluh rakit itu berat. Peserta kemudian berlumba mengayuhnya ke tengah tasik kerana mahu merebut lokasi terbaik lubuk ikan.

“Bayangkan peserta mengayuh rakit yang berat sehabis kudrat untuk ke lokasi lubuk ikan meskipun jauhnya lebih satu kilometer sama ada di tengah-tengah Tasik Raban atau di tepi tasik yang banyak rumput air menutupi permukaan tasik.

“Semua peserta berada di atas rakit masing-masing selama 10 jam kerana pertandingan memancing bermula jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang tanpa menghiraukan panas terik matahari,” katanya.

Menurutnya, semua peserta dimestikan memakai jaket keselamatan kerana kedalaman air tasik itu amat berbahaya. Bekalan makanan diberikan marsyal yang menggunakan tiga bot peronda termasuk mengawasi peserta sekiranya berlaku kecemasan.

Katanya, Tasik Raban ‘menyimpan’ berpuluh spesies ikan termasuk yang bernilai tinggi seperti kaloi, baung, toman, haruan, lampam serta peacock bass atau ikan raja dan pelbagai spesies lain.

“Ada peserta memperoleh ikan toman seberat lebih 3 kilogram dan seorang peserta lain berjaya memancing 20 ikan sepanjang pertandingan memancing seharian itu.

“Ramai peserta mengakui penat serta mencabar tetapi seronok dan terhibur dengan aktiviti diadakan meskipun ada antara mereka hanya memperoleh seekor ikan kecil sepanjang pertandingan,” katanya.

Pemenang kategori Ikan Terbesar, Riduwan Zakaria berkata kepenatan membuat rakit bersama seorang rakan sekumpulan dan kemudian mengusungnya ke dalam tasik amat dirasai tetapi ia aktiviti menyeronokkan.

“Saya memperoleh ikan spesies peacock bass atau ikan raja seberat hampir dua kilogram selain seekor anak toman dengan hanya satu joran. Saya anggap ia rezeki kerana menerima hadiah kategori itu.

“Saya suka aktiviti mencabar fizikal dan minda dan pertandingan ini banyak mengajar saya erti sabar dalam banyak keadaan,” katanya.

Seorang lagi peserta, Muhammad Zulhisyam Abdul Jalil berkata, minat memancing sejak kanak-kanak bersama bapa menyebabkan beliau kini terus memburu lubuk ikan dan menyertai di mana saja penganjuran memancing diadakan di seluruh negara.

“Selain memancing di Royal Belum, Banding, Gerik dan Selangor, saya juga pernah menyertai aktiviti memancing di Sungai Tembeling, Pahang menaiki bot lebih sejam dan pernah memancing seorang diri di kawasan ‘keras’,” katanya.

Sementara pemenang kategori Ikan Terbanyak, Syed Firdaus Syed Fadzli mengakui aktiviti memancing disertainya kali ini mencabar fizikal dan mental yang tidak diberitahu ketika diuar-uarkan aktiviti itu di media sosial sebelum itu.

“Saya seronok dan menjadi satu pengalaman manis terutama dapat menikmati keindahan panorama Tasik Raban dengan pemandangan sangat cantik. Saya berazam untuk ke tasik ini kembali,” katanya.

PROFIL:

NAMA: Riduwan Zakaria

UMUR: 34 tahun

ASAL: Hulu Langat, selangor

KERJAYA: Pembaca Meter TNB

NAMA: Freddy Alwis Idris

UMUR: 25 tahun

ASAL: Lenggong, Perak

KERJAYA: Jurutera Elektrikal dan Mekanikal

NAMA: Muhammad Zulhisyam Abdul Jalil

UMUR: 25 tahun

ASAL: Kuala Kangsar, Perak

KERJAYA: Peniaga

NAMA: Syed Firdaus Syed Fadzli

UMUR: 25 tahun

ASAL: Kajang, Selangor

KERJAYA: Mekanik

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2016 @ 5:02 AM