Singapura: Jurulatih Thailand Kiatisuk Senamuang menyifatkan Harimau Malaya masih berpeluang mara ke separuh akhir selepas membuatkan anak buahnya mengerah keringat sebelum menang 3-2 pada perlawanan kedua Kumpulan B Piala AFF 2014 semalam.

Thailand juara tiga kali kejohanan terpaksa bangkit dua kali dalam aksi di Stadium Jalan Besar itu untuk memastikan kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan pasukan tuan rumah Singapura 2-1 Ahad lalu.

Walaupun pada awalnya skuad Gajah Perang itu diramal mudah mengutip tiga mata ke atas Malaysia, hakikatnya mereka terpaksa mengharapkan jaringan penyerang gantian Adisak Kraisorn pada minit akhir permainan untuk mencipta kemenangan.

Malah Kiatisuk yang memasukkan lima pemain baru termasuk perancang Chanathip Songkrasin yang dikenali sebagai ‘Messi J’ terpaksa bangkit selepas ketinggalan dua kali kali dalam perlawanan itu menerusi jaringan Adisak dan Charyl Chappuis.

Kiatisuk pemain legenda Thailand yang popular dengan gelaran Zico menganggap aksi menentang Malaysia lebih sukar berbanding Singapura.

“Sudah tentu ini perlawanan paling sukar kami. Saya berterima kasih kepada pemain kerana tidak berputus asa dan terus berjuang.

“Malaysia pasukan bagus, Dollah Salleh mempunyai pemain berpengalaman dan kami gembira dengan kemenangan ini,” katanya.

Kiatisuk yang menjulang trofi Piala AFF sebagai kapten 2002 dan menjadi pemusnah impian Malaysia pada final 1996 nyata bijak mengatur strategi selepas ketinggalan dengan memasukkan Adisak menggantikan Kirati Keawsombut pada minit ke-42.

“Saya masukkan Adisak pada separuh masa kedua kerana dia tidak cergas. Saya gembira percaturan ini menjadi dan kini kami sudah layak ke separuh akhir. Saya percaya kami boleh terus mara memburu kejuaraan,” kata pengendali berusia 41 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 6:19 AM