ADISAK (kanan) mahu jadi penghancur skuad negara.
ADISAK (kanan) mahu jadi penghancur skuad negara.

Petaling Jaya: Penyerang Thailand, Adisak Kraisorn ingin menjadi pemusnah harapan Harimau Malaya pada final kedua Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Walaupun tidak meledak gol ketika skuad Gajah Perang menang 2-0 pada pertembungan pertama di Bangkok Rabu lalu Adisak tetap berbahaya.

Kelicikannya dalam kotak penalti menyumbang kepada gol pertama Thailand apabila dia dijatuhkan pertahanan negara Mohd Fadhli Shas hingga memberi kesan kepada permainan malam itu.

Pemain berusia 23 tahun itu yang menjaringkan dua gol ketika menewaskan Harimau Malaya 3-2 pada aksi peringkat kumpulan di Singapura, tidak bimbang jika dia dirantai pertahanan lawan.

“Saya tidak bimbang kerana jika gagal menjaringkan gol, saya masih boleh mencipta gerakan untuk rakan sepasukan melaksanakannya.

“Kami bermain sebagai satu pasukan bukan individu. Saya percaya kami sudah bersedia dan fokus bagi perlawanan esok (hari ini),” katanya.

Adisak yang menyumbat lima gol ketika membantu skuad bawah 23 tahun Thailand mara ke separuh akhir Sukan Asia Incheon, September lalu menjadi pilihan utama Kiatisuk selepas seorang lagi penyerang Kirati Keawsombut mengalami kecederaan.

Dia mengakui tidak tertekan untuk memikul tugas getir kerana menganggap masih lagi dalam proses menimba pengalaman.

“Saya masih belajar untuk menjadi penyerang yang baik.Saya tidak bimbang kerana masih muda. Saya mempunyai masa sekurang-kurangnya 10 tahun lagi untuk bermain dengan skuad kebangsaan,” katanya yang bakal beraksi dengan kelab BEC Tero Sasana selepas membantu Buriram United muncul juara Liga Thailand musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:12 AM