Bangkok: Penolong jurulatih Thailand Choktawee Promrat pasti corak permainan pantas penyerangnya dan kelicikan ‘Messi Jay’ akan menyaksikan mereka mengatasi Filipina dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFF, hari ini.

Pilihan kejohanan itu dipaksa bekerja keras aksi pertama di Manila, Sabtu lalu, yang berakhir tanpa jaringan selepas Adisak Kraisorn diarah keluar padang manakala rakan penyerang, Kirati Keawsombut diusung keluar kerana kecederaan.

Kedua-dua pemain itu tidak akan beraksi di Stadium Rajamangala, tetapi Choktawee percaya perancang Chanathip Songkrasin yang digelar ‘Messi Jay’ oleh peminat Thailand akan mengisi kekosongan dengan Sompong Soleb dan Chainarong Tathong turut beraksi dalam kesebelasan utama.

“Chanatip sudah menjadi semakin kuat. Dia menjadi hubungan kepada bahagian depan,” kata Choktawee kepada wartawan mengenai pemain berusia 21 tahun itu yang dinamakan sempena pemain hebat Barcelona dan Argentina, Lionel Messi.

“Filipina pasti akan bermain secara bertahan. Cabaran kami adalah untuk memecahkan pertahanan mereka dan ia bukannya satu masalah bagi penyerang kami yang pantas.”

Ketika Thailand, juara tiga kali, mengintai final keempat dalam lima edisi terakhir, Filipina pula memburu perlawanan akhir pertama mereka.

Jurulatih Azkals Tom Dooley berkata, beliau mengharapkan keputusan positif bagi menggembirakan rakyat Filipina yang dilanda taufan Hagupit hujung minggu lalu. Bencana itu menyebabkan 27 terbunuh dan beribu yang lain kehilangan rumah.

“Keputusan di gelanggang sendiri begitu baik buat kami. Tapi kami selalu bimbang dengan kepantasan mereka ketika menyerang,” kata jurulatih bangsa Amerika-Jerman itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 6:19 AM