Kakitangan ONL memasang teleskop sebagai pesediaan untuk aktiviti mencerap gerhana matahari separa di pekarangan Sekolah Kebangsaan Sungai Menghulu, Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Kakitangan ONL memasang teleskop sebagai pesediaan untuk aktiviti mencerap gerhana matahari separa di pekarangan Sekolah Kebangsaan Sungai Menghulu, Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman

Langkawi: Orang ramai boleh menyaksikan fenomena gerhana matahari separa di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Menghulu, di sini, bermula dari jam 7.33 pagi hingga 9.29 pagi esok.

Ini kerana fenomena itu jarang dapat dilihat dan kali terakhir pada Januari 2010.

Penolong Pegawai Sains Observatori Negara Langkawi (ONL) Karzaman Ahmad berkata, fenomena unik itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila ia dijangka dapat dilihat dalam tempoh dua jam.

"Hanya gerhana matahari separa yang dapat dilihat di Langkawi esok secara berperingkat mulai jam 7.33 pagi hingga 9.29 pagi, selain beberapa lokasi lain di negara ini.

"Dijangkakan di Langkawi gerhana akan capai maksimum pada 8.25 pagi dengan 67 peratus kawasan permukaan matahari akan ditutupi oleh bulan," katanya.

Terdahulu, Karzaman mengetuai empat kakitangan ONL memasang teleskop di pekarangan SK Sungai Menghulu, di sini, sebagai persediaan untuk orang ramai menyertai aktiviti pencerapan.

Katanya, pihaknya memasang tujuh unit teleskop dengan masing-masing empat unit milik ONL dan Balai Cerap Masjid Al-Ehsan Kampung Temonyong (tiga unit) untuk kegunaan orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 5:01 PM