BERNAMA

New Delhi: Kebanyakan tempat di India berjaya menyaksikan gerhana matahari separa pada Selasa.

Institut Astrofizik India menyiarkan secara langsung fenomena cakerawala itu, lapor Xinhua.

Fenomena itu dilihat di beberapa bandar India termasuk New Delhi, Mumbai, Ahmedabad, Bhopal, Ludhiana, Agra, Chandigarh dan Gandhinagar.

Bagaimanapun, ia bertahan untuk tempoh maksimum di Dwarka, Gujerat.

Kementerian sains bumi India telah menggesa orang ramai supaya tidak melihat gerhana matahari secara terus dengan mata kasar.

"Matahari gerhana tidak boleh dilihat dengan mata kasar, walaupun untuk masa yang singkat. Ia akan menyebabkan kerosakan kekal pada mata yang membawa kepada buta walaupun Bulan menutupi sebahagian besar bahagian matahari," kata kementerian itu.

Imej Taj Mahal dengan latar gerhana matahari separa. - FOTO AFP
Imej Taj Mahal dengan latar gerhana matahari separa. - FOTO AFP

"Teknik selamat untuk memerhati gerhana matahari adalah sama ada dengan menggunakan penapis yang betul seperti Mylar aluminis, polimer hitam, kaca kimpalan bernaungan nombor 14 atau dengan membuat unjuran imej Matahari pada papan putih melalui teleskop.

"Gerhana matahari seterusnya akan dapat dilihat dari India pada 2 Ogos 2027. Ia akan menjadi gerhana matahari penuh. Dari semua bahagian negara ia akan dilihat sebagai gerhana matahari separa," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Laporan berkata gerhana matahari akan diikuti dengan gerhana bulan yang dijadualkan berlaku pada 8 November tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2022 @ 4:30 PM