AKSI pelumba di peringkat terakhir LTdL 2015.
AKSI pelumba di peringkat terakhir LTdL 2015.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Ketika Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memutuskan penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 dikembalikan kepada pihak swasta, ramai yang khuatir dengan langkah berkenaan.

Namun tindakan itu dianggap tepat apabila edisi ke-20 LTdL berlangsung dengan lancar walaupun pengguguran pendakian kategori hors ke puncak Genting Highlands terpaksa dilakukan pada saat akhir.

Saingan sejauh 1,193.1 kilometer membabitkan lapan peringkat perlumbaan bermula di Pulau Langkawi dan berakhir di Dataran Merdeka berjaya menguji fizikal dan mental pelumba yang bertanding.

Penganjuran dilaksanakan Human Voyage Sdn Bhd berjaya menarik 22 pasukan termasuk pasukan tersohor dunia dari Great Britain Team Sky apabila tampil buat kali pertama dalam sejarah penganjurannya.

Malah penganjuran mendapat publisiti lebih daripada 50 buah negara.

Penonton disajikan dengan saingan sengit membabitkan pelumba sejak peringkat pertama terutamanya membabitkan pelumba Astana Andrea Guardini dan Caleb Ewan dari Orica GreenEdge selain kayuhan bertenaga Youcef Reguigui dari MTN Qhubeka mengejutkan ramai pihak apabila menawan puncak Bukit Fraser.

Guardini akhirnya menamatkan saingan dengan memenangi empat daripada lapan peringkat dipertandingkan sekali gus melebarkan rekod kemenangan kepada 18 peringkat sejak 2011.

Ewan yang dilabel ‘permata’ baru dari Australia gah membawa pulang gelaran Raja Pecut, mengatasi Guardini yang turut memburu jersi biru berkenaan selepas memenanginya pada 2011 dan 2012.

Team Sky pula pulang dengan `tangan kosong’ apabila pelumba harapan mereka, Sebastian Henao dari Colombia diletakkan sasaran menakluk Bukit Fraser tewas mengejut kepada Reguigui.

Gelaran pasukan terbaik keseluruhan dan Asia turut mengejutkan apabila pasukan dari Indonesia Pegasus Cycling Team berjaya meraihnya selepas barisan pelumbanya sentiasa konsisten dalam menamatkan saingan.

Skuad Majlis Sukan Negara (MSN) dan kebangsaan pula menamatkan cabaran pada kedudukan ke-21 dan 22 selain Terengganu Cycling Team (TSG) ke-17 daripada 22 pasukan bertanding.

TSG paling cemerlang apabila Anuar Manan dan Adiq Husainie Othman menaiki podium di Pulau Langkawi dan Kuantan selepas meraih tempat ketiga.

Malah Adiq muncul pelumba tempatan terbaik apabila menduduki tempat ke-39 dalam kategori individu keseluruhan selain turut menyarung jersi pelumba terbaik Asia pada satu peringkat.

Secara keseluruhannya, edisi ke-21 tahun depan memerlukan tumpuan penuh semua pihak dalam mempersiapkan pasukan tempatan menghadapi LTdL kerana kita bukan saja mahu bermegah dengan penganjurannya namun mahu pelumba tempatan turut meraih kemenangan.

Hanya Anuar meraih pencapaian membanggakan apabila muncul Raja Pecut 2010 dan memenangi satu peringkat perlumbaan pada edisi yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:23 AM