Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail mahu cadangan pengendali Skuad Projek Sukan SEA 2017 Frank Bernhardt (gambar kiri) untuk melantik penolong jurulatih asing dikaji terlebih dulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai tindakan jurulatih dari Jerman itu yang tetap mahu membawa masuk jurulatih luar biarpun Jawatankuasa Kerja Bolasepak membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) bulan lalu sudah melantik Aminuddin Hussin, berkata cadangan itu akan diputuskan pada mesyuarat bulan ini.

“Mesyuarat jawatankuasa kerja akan diadakan dalam masa terdekat ini, jadi apa saja cadangan akan dibincangkan dalam mesyuarat. Biar perkara ini diselesaikan menerusi keputusan bersama,” katanya.

Berdasarkan maklumat sumber dalaman badan induk itu, calon penolong jurulatih itu yang dikatakan pernah bersama Bernhardt membimbing skuad remaja Estonia sudah berada di sini meskipun FAM didakwa kurang senang dengan tindakan itu.

Bernhardt yang dilantik FAM Disember lalu sebelum ini sudah menunjukkan kecenderungan untuk membawa masuk jurulatih asing biarpun sudah mengadakan ujian pemilihan dengan jurulatih tempatan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 7:33 AM