HAMIDIN (dua kiri) beramah mesra bersama sebahagian peserta Seminar Bola Sepak Wanita FAM 2016 semalam.
HAMIDIN (dua kiri) beramah mesra bersama sebahagian peserta Seminar Bola Sepak Wanita FAM 2016 semalam.

Petaling Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mahu mengubah pendirian sebaliknya menggesa jurulatih Skuad Projek Sukan SEA 2017 Frank Bernhardt memilih calon tempatan sebagai penolongnya.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Amin berkata, keputusan siapa yang bakal dilantik untuk membantu pengendali dari Jerman itu akan terjawab hari ini selepas mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Khas FAM bersama Majlis Sukan Negara (MSN).

“Dalam mesyuarat itu kita akan putuskan selepas Bernhardt bentangkan cadangan (calon penolong jurulatih) dan perancangan pasukan.

“Apa saja cadangan beliau, kita akan nilai semua berdasarkan bajet dan kehendak yang sudah kita gariskan sebelum ini. Saya tak pasti (nama calon) tapi seperti yang disarankan memang kita mahukan anak watan sebab mahu gunakan kepakarannya untuk mengajar jurulatih tempatan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Seminar Bola Sepak Wanita FAM 2016 semalam.

Bernhardt yang dilantik membimbing Skuad Projek Sukan SEA 2017 membabitkan pemain Bawah 22 sehingga kini belum menamakan penolongnya.

Bekas jurulatih skuad remaja Estonia itu dikatakan kurang berminat calon tempatan walaupun sebelum ini sudah mengadakan ujian pemilihan membabitkan P Maniam, Reduan Abdullah, Azlan Johar, Aminuddin Hussin dan Hassan Sazali Waras.

Namun sikapnya yang melengah-lengahkan pelantikan itu ditegur beberapa pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menyarankan agar jurulatih tempatan diberi peluang menjadi pembantunya dan bukannya jurulatih asing.

Sementara itu, Hamidin ketika mengulas mengenai dakwaan Penaung Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim kelmarin bahawa Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) hanyalah boneka badan induk itu, berkata: “Tujuan FMLLP ditubuhkan adalah untuk menguruskan pentadbiran Liga Malaysia secara profesional. Dalam dunia ini, kita tak boleh puaskan semua pihak, tapi saya berpendapat secara keseluruhan penubuhan FMLLP ini bagus, cuma permulaan mungkin ada sedikit kelemahan yang boleh diperbaiki dari masa ke semasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 8:26 AM