BERNHARDT (tengah)  melatih anak buah di padang Wisma FAM.
BERNHARDT (tengah) melatih anak buah di padang Wisma FAM.
Oleh Aziman Rosdi

Petaling Jaya: Jurulatih dari Jerman Frank Bernhardt mula merasa bahang realiti bola sepak di Malaysia selepas sembilan pemain yang diharapkan melaporkan diri pada sesi latihan Skuad Projek Sukan SEA 2017 tetap tidak muncul semalam.

Tiada penjelasan kukuh dapat diberikan pengendali baru dilantik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu mengenai kehilangan pemain berkenaan sebaliknya hanya mahu meneruskan tugasnya mencari pemain untuk membentuk skuad mantap.

“Kami memanggil mereka datang namun tetap tidak hadir hari ini (semalam). Jadi, kami perlu menghantar surat sekali lagi untuk membincangkan fasa baru persiapan pasukan selepas ini.

“Mungkin ada yang tidak datang kerana cedera. Mungkin mereka mahu hadir tapi disebabkan masalah lain tidak dapat datang. Sudah pasti ini menjejaskan persiapan saya.

“Kami perlu berdepan dengan situasi ini dan apa yang perlu dilakukan sekarang adalah mendapatkan pemain,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan semalam.

Arena Metro semalam melaporkan mengenai sembilan daripada senarai 39 pemain dipanggil tidak hadir pada sesi pertama latihan pemilihan Skuad Projek Sukan SEA 2017 kelmarin.

Pemain berkenaan dikatakan tidak mendapat pelepasan pasukan negeri dan kelab selepas mereka bebas kontrak dengan Harimau Muda B dan C.

Beberapa pemain yang ditemui pada sesi latihan juga menyatakan tidak berminat menyertai skuad itu jika beraksi dalam liga domestik sebaliknya mahu terus kekal bersama pasukan negeri atau kelab masing-masing.

Dalam pada itu, Bernhardt yang juga bekas jurulatih skuad remaja Estonia menyatakan tidak mahu terburu-buru dalam melantik barisan kejurulatihan termasuk penolong jurulatih.

“Ia mengambil sedikit masa untuk melantik penolong saya. Bukan hari ini (semalam) dan tidak juga minggu depan. Saya perlu berbincang, melihat mereka mengendalikan latihan sebelum membuat pilihan tepat,” katanya.

Empat calon sedang diuji Bernhardt pada sesi latihan itu membabitkan Reduan Abdullah, Hassan Sazali Waras, P Maniam dan Azlan Johar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 8:33 AM