PEMAIN Johor DT jalani latihan sebelum aksi menentang PDRM.
PEMAIN Johor DT jalani latihan sebelum aksi menentang PDRM.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mario Gomez meluahkan kebimbangan mengenai permukaan padang tidak rata di Stadium Hang Jebat akan menjejaskan rentak permainan skuad Harimau Selatan pada aksi suku akhir pertama, malam ini.

Pertembungan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi Piala FA itu amat penting tatkala mereka mengidam kemenangan selesa namun selepas menempuh perlawanan Liga Super, Ahad lalu berdepan skuad kendalian Fauzi Pilus, keadaan padang yang mengecewakan mengundang rasa tidak puas hati buat pengendali dari Argentina itu.

“Mungkin keadaan padang di stadium itu sesuai buat PDRM tapi tidak pasukan saya kerana ia menjejaskan rentak permainan dan kelancaran taktikal yang saya rancang.

“Kami tiada pilihan dan akan turun untuk memburu kemenangan walaupun pernah tewaskan PDRM pada aksi liga baru-baru namun saya tidak boleh terlalu bergantung kepada pencapaian itu sebaliknya perlu berwaspada kebangkitan pasukan lawan.

“Saya akan turunkan barisan terbaik malah Jorge Diaz, Juan Lucero dan kapten Safiq Rahim akan kembali dalam skuad utama sambil empat tonggak benteng pertahahan Fazly Mazlan, Marcos Antonio, Aidil Zafuan Radzak dan S Kunanlan menguatkan benteng Johor DT,” katanya.

Bagaimanapun, Gomez belum dapat mengesahkan status Hariss Harun sama ada akan diturunkan atau tidak walaupun pemain itu sudah kembali menjalani latihan bersama rakan sepasukan, kelmarin.

Beliau juga mengingatkan setiap pemain Johor DT yang akan diturunkan tidak terlalu gopoh dan sentiasa mengikut strategi yang dirancang malah bijak mengambil kesempatan untuk mencipta gol tanpa membazirkan apa jua peluang terhidang.

“Kami pernah menang 2-0 baru-baru ini namun saya tidak anggap PDRM pasukan mudah ditewaskan sebaliknya saya ramalkan mereka akan tampil dengan corak permainan berbeza dan kami perlu berhati-hati.

“Selepas berdepan pasukan itu pada aksi liga baru-baru ini, saya anggap Ali Ashfaq pemain berbahaya untuk PDRM dan kami kena berjaga-jaga dengan kelicikan pemain itu dan kami tidak mahu pulang dengan keputusan seri,” kata Gomez.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2016 @ 5:26 AM