KONTINJEN Zon Jaguh meraikan kejayaan muncul juara kejohanan olahraga.
KONTINJEN Zon Jaguh meraikan kejayaan muncul juara kejohanan olahraga.
Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuanta: Zon Jaguh muncul juara kategori sekolah menengah Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kuantan di Stadium Darul Makmur, kelmarin.

Pada kejohanan tiga hari itu, kontinjen disertai 80 atlet lelaki dan perempuan bawah 13, 15 dan 18 tahun mengumpul 26 pingat emas, perak (29) dan gangsa (15).

Naib johan milik Zon Juara yang meraih 18 pingat emas, perak (16) dan gangsa (25). Tempat ketiga, Zon Perdana yang mendapat 18 pingat emas, perak (12) dan gangsa (14).

Jurulatih Zon Jaguh K Ambanasan berkata, latihan berterusan memberi kelebihan buat kontinjennya dinobat juara untuk tiga tahun berturut-turut.

Menurutnya, minat dan kesungguhan atlet dalam semua acara padang dan balapan selain kemudahan latihan memuaskan turut menyumbang kepada prestasi konsisten setiap tahun.

“Saya puas hati prestasi dipamerkan atlet semua peringkat umur apabila berjaya mengumpul 26 pingat emas. Ia pencapaian memuaskan walaupun dalam beberapa acara, atlet kita gagal menyerlah.

“Kejayaan kali ini diharap dapat diteruskan semua atlet yang membawa cabaran ke Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kuantan ke Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) pada 14 hingga 19 April ini,” katanya.

Ambanasan yakin saingan sengit pada kejohanan olahraga MSSP daripada kontinjen MSSD Temerloh, MSSD Jerantut dan MSSD Pekan pasti menghasilkan keputusan membanggakan.

“Saingan peringkat MSSP jauh lebih hebat berbanding peringkat zon. Justeru, saya harap atlet Zon Jaguh memberi perhatian lebih serius seterusnya berusaha memperbaiki setiap kelemahan.

“Kejayaan pada kejohanan itu membuka peluang cerah kepada atlet terpilih mewakili negeri pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2015,” katanya.

Pada kejohanan sama, Zon Perkasa muncul johan kategori sekolah rendah, manakala Zon Juara (naib johan) dan Zon Jaguh (tempat ketiga).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:29 AM