RICCIARDO (kiri) ketika pelancaran wajah baru pasukan Red Bull.
RICCIARDO (kiri) ketika pelancaran wajah baru pasukan Red Bull.
Reuters

London: Red Bull menampilkan wajah baru bagi era baru kelmarin, dengan amaran yang jelas tidak menggetarkan jantung Daniel Ricciardo ketika pemandu Australia itu bersiap sedia bagi permulaan musim baru Formula Satu di Melbourne bulan depan.

“Ia akan menjadi musim evolusi buat kami,” kata prinsipal pasukan Christian Horner pada majlis pelancaran kereta dan pakaian seragam khas ciptaan Puma bagi 2016.

“Ia mungkin akan menjadi musim dengan dua babak. Babak pertama kurang kompetitif berbanding babak kedua tapi kami menjangkakan peningkatan ketara sepanjang tahun ini.”

Ricciardo, yang menang tiga perlumbaan pada 2014, merudum tahun lalu apabila pasukannya berakhir di tangga keempat keseluruhan dengan tanpa sebarang kemenangan.

“Saya fikir ia masuk akal, berbanding terlalu teruja tanpa sebab,” katanya. “Jika anda hadir di Melbourne dan Christian serta setiap orang berkata ‘ia mengagumkan dan aerodinamik serta semuanya...’ kemudian ia tidak menjadi, ia pasti mematahkan semangat.

“Saya fikir lebih realistik kami memerlukan sedikit masa untuk melakukan peningkatan berbanding tahun lalu.”

Pemenang empat kejuaraan pemandu dan pengeluar antara 2010 dan 2013, hubungan Red Bull dengan Renault teruk tahun lalu ketika enjin mereka ternyata tidak berupaya berbanding juara Mercedes dan Ferrari.

Renault kini memiliki pasukan mereka sendiri selepas membeli Lotus, namun masih menyediakan enjin kepada Red Bull yang kini membawa jenama Tag Heuer.

Musim ini bermula di Australia pada 20 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2016 @ 9:26 AM