MAX VERSTAPPEN
MAX VERSTAPPEN
Agensi

LONDON: Max Verstappen tidak akan merasai kehilangan Daniel Ricciardo selaku rakan sepasukan di Red Bull, dan percaya pemandu Australia itu akan menyesal selepas berpindah ke Renault untuk musim 2019.

Pemandu Australia itu tidak lama lagi akan memulakan hidup baharu bersama pengeluar dari Perancis berkenaan, selepas menamatkan karier lima tahun bersama Red Bull pada pertengahan musim lalu.

Dia memulakan musim dengan prestasi baik, tetapi isu ketahanan membuatkan dia ketinggalan di belakang rakan sepasukan, Verstappen pada penghujung musim.

Kedua-duanya sering bermusuhan di litar terutama di Baku tahun lalu, namun bersahabat baik di luar litar menyebabkan prinsipal pasukan Red Bull, Christian Horner melabelkan mereka rakan sepasukan terbaik.

Namun Verstappen tampak menafikannya apabila mengatakan dia tidak terasa kehilangan bekas rakan sepasukan itu sambil mengkritik Renault.

“Secara peribadi saya tidak merasai kehilangannya tetapi dia rakan sepasukan yang baik dan menyeronokkan,” kata Verstappen kepada akhbar Belanda, Algemeen Dagblad.

“Itu bukanlah selalu berlaku dan mungkin tidak lagi akan berlaku. Tetapi adakah saya akan merinduinya? Saya percaya Daniel akan merindui apa yang dia pernah ada di sini.”

Red Bull menamatkan kerjasama sedekad dengan Renault pada penghujung musim ketika mereka cuba melangkah ke depan bersama enjin Honda bermula 2019, dan Verstappen yakin Ricciardo meninggalkan pasukan pada waktu yang salah.

“Keseluruhan perancangan dimiliki Honda memang berbeza dengan apa yang kami ada di Renault,” katanya.

“Dengan Renault, kami sentiasa perlu terus mencuba. Ia sentiasa datang daripada kami dan ia sentiasa tidak dipedulikan. Tapi kini berbeza dan kami dipaksa memberikan alat ganti.

“Mereka perlukan kotak gear dan perkara seperti itu daripada kami, yang memang bukan sesuatu yang mudah untuk dibuat. Namun Honda hanya mahu cuba, cuba, cuba. Mereka membuat ujian lebih banyak daripada saya lakukan di litar.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 12:46 PM