PASUKAN Red Bull mampu menjadi ancaman utama ketika aksi di Melbourne pada 25 Mac ini. Gambar kecil, Lewis Hamilton. FOTO AFP
PASUKAN Red Bull mampu menjadi ancaman utama ketika aksi di Melbourne pada 25 Mac ini. Gambar kecil, Lewis Hamilton. FOTO AFP
Reuters

London: Lewis Hamilton menjangkakan Red Bull berkemungkinan memiliki jentera terpantas di grid perlumbaan Formula Satu (F1) yang membuka tirainya musim ini di Grand Prix (GP) Australia, minggu depan.

Pemandu Mercedes yang juga juara dunia empat kali itu dan kekal sebagai pilihan juara memberitahu kepada wartawan betapa pasukan Red Bull mampu menjadi ancaman utama ketika aksi di Melbourne pada 25 Mac ini.

“Saya fikir Red Bull adalah yang terpantas ketika ini, berpotensi,” kata pelumba kelahiran Britain itu ketika ditemui di Turin, Itali.

“Mereka sudah melakukan beberapa naik taraf, daripada beberapa magnitud, dua hingga empat (per saat) atau sesuatu seperti itu. Inilah yang saya dengar,” kata pelumba berusia 33 tahun itu.

Ferrari merekodkan masa terpantas ketika ujian pramusim tetapi kebanyakan analisis ketika sesi berkenaan memperlihatkan Mercedes masih berada di hadapan mereka dengan bekas juara, Red Bull sebagai pencabar paling rapat.

Mercedes dan Red Bull memberi fokus kepada kepantasan di laluan lurus dan panjang serta ketahanan berbanding prestasi di Barcelona.

Pelumba Australia, Daniel Ricciardo dan pelumba Belanda berusia 20 tahun, Max Verstappen mengumpul tiga kemenangan pada musim lalu tetapi Mercedes jelas berada di tahap berlainan apabila memenangi 12 perlumbaan.

Bos Red Bull, Christian Horner juga berkata, Mercedes masih dianggap sebagai pasukan pilihan bagi musim 2018.

“Saya fikir tahun ini pasti mengujakan kerana tahun lalu ada perbezaan yang besar di antara pasukan pada awal perlumbaan dan kemudian mereka semakin hampir,” kata Hamilton.

Hamilton berkata, dia masih belum menandatangani kontrak baru bersama pasukan tetapi berharap ia dapat dimuktamadkan sebelum perlumbaan di Melbourne.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 10:13 AM