Oleh Yusmawati Mhd Yusof


Melaka: Seorang lelaki warga Nigeria dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Melaka selepas didapati bersalah mengedar methapethamine seberat 251.66 gram di Hospital Melaka, dua tahun lalu.

Hukuman itu diputuskan Hakim Datuk Zulkifli Bakar ke atas Abuchi Ngwoke, 35, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan kes melampaui keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methapethamine seberat 251.66 gram di Hospital Besar Melaka antara kira-kira jam 5 pagi 23 Mei hingga kira-kira jam 2.50 petang pada 25 Mei 2012.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Seramai 14 saksi pendakwaan dan satu saksi pembelaan iaitu tertuduh dipanggil sepanjang kes perbicaraan yang bermula 28 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 1:24 PM