LIMA lelaki termasuk dua warga China diiringi polis selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
LIMA lelaki termasuk dua warga China diiringi polis selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Oleh Yusmawati Mhd Yusof


Melaka: Lima lelaki termasuk dua warganegara China dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine dan ketamin seberat 2,801.71 gram di rumah di Semabok, lima tahun lalu.

Hukuman itu diputuskan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil ke atas Goh Eng Tee, 40; Sow Teik Lee, 40; Emery Shazmal Abd Malek, 39; Lin Xiren, 32; dan Ye Yufeng, 31, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama dua lagi tertuduh Teo Bee Keng, 43, dan Tursini Turida, 25, mengedar dadah berbahaya iaitu Methamphetamine dengan berat bersih 226.37 gram di rumah di Jalan SP 1, Taman Semabok Permai di sini kira-kira 1.30 pagi, 4 Jun 2010.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis ketamin berat bersih 2,575.34 gram di lokasi pada masa dan tarikh yang sama.

Justeru, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bersama Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Datuk Abdul Karim melepas dan membebaskan Teo yang juga isteri Goh dan pembantu rumahnya, Tursini selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap kedua-dua tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 January 2015 @ 5:21 PM