MESIN pemberi makan burung walet.
MESIN pemberi makan burung walet.
Oleh Mohamad Hussin

Perusahaan burung walet bukan begitu asing di negara ini kerana ia menjanjikan pulangan lumayan kepada pengusahanya berikutan permintaan yang tinggi terhadap sarang burung itu.

Sarang burung walet dikesan mempunyai khasiat yang tinggi bagi tujuan perubatan.

Ia diamalkan masyarakat di China sejak berabad lamanya. Kajian perubatan di Beijing mendapati sarang burung walet dapat dijadikan agen pemutihan kulit dan kesihatan mata.

Di samping itu, ia dapat membantu memulihkan sistem pernafasan dan memperkuatkan paru-paru penghidap asma.

Malah sarang burung mengandungi kolagen turut berkhasiat termasuk menyembuhkan batuk, meningkatkan metabolisme dan mempercepatkan penyembuhan selepas bersalin.

Bagi mengatasi masalah itu, penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Radhwan Hussin mengambil inisiatif membantu pengusaha burung walet yang mengalami kegagalan dalam perusahaan ini.

Radhwan berkata, beliau dengan beberapa kumpulan penyelidik menjalankan kajian terhadap perusahaan ini dan mendapati 70 hingga 80 peratus daripada 120,000 perusahaan rumah burung menemui kegagalan.

“Daripada jumlah itu, seramai 40,000 terdiri daripada pengusaha Bumiputera mengalami kerugian kerana tiada burung yang bermastautin di rumah burung hingga memberi kesan terhadap bilangan sarang burung.

“Cabaran utama dalam industri ini adalah pengusaha perlu berusaha memikat sebanyak mungkin burung bagi meningkatkan produktiviti sarang burung walet itu.

“Justeru, saya mencari jalan supaya program kerjasama antara UniMAP dan industri dengan memberi fokus untuk membantu pengusaha meningkatkan populasi burung itu,” katanya.

Katanya, dengan bantuan geran Demand-Driven Innovation Project daripada Public-Private Research Network (PPRN) mem­bantu untuk menjayakan kerjasama ini di antara penyelidik dan pengusaha.

“Satu mekanisme yang diberi nama Swiflet’s Foun­tain Feeding Machine akhirnya berjaya direka dengan kerjasama rakan industri burung walet itu iaitu syarikat Layang-layang Maju Enterprise yang diterajui Nordin Jafri.

“Mekanisme yang direka ini bukan saja mampu untuk memberi makanan kepada burung malah berupaya menarik burung baru ke sarang dalam komponen utama di dalam rumah burung walet,” katanya.

Beliau berkata, mesin ini terdiri daripada piring perangkap (mengumpulkan lebihan makanan), penghembus elektrik ( menerbangkan makanan ke udara) dan pengira masa (mengawal kuantiti makanan dan jadual pemakanan).

“Mesin ini juga menyediakan tempat makanan burung serta sistem suara yang mengeluarkan bunyi seakan-akan burung walet sebagai umpan.

“Ia direka selepas mengambil kira faktor yang mampu menarik burung walet itu kekal mendiami rumah burung dengan menggabungkan dua ciri penting itu.

“Secara semula jadi, burung-burung ini kekal di dalam rumah burung apabila mendapati kumpulan yang lain berkumpul di satu-satu tempat dengan syarat mempunyai bekalan makanan mencukupi,” katanya.

Menurutnya, ciri-ciri yang mempengaruhi burung ini adalah peng­gunaan dua pembesar suara yang mengeluarkan bunyi burung bagi menarik burung itu ke arah mesin.

“Sementara ciri kedua adalah keupayaan menyediakan makanan kepada burung menggunakan kipas penghembus,” katanya.

Sementara itu, Nordin berkata, dia mengusahakan rumah burung walet di Perlis dan Johor sejak Julai 2009 tetapi menemui kegagalan apabila bilangan sarang burung berkenaan sering merosot.

Menurutnya, beliau menyambut baik usaha sama yang dijalankan penyelidik UniMAP sekali gus dapat membantu menambah baik ekonomi perusahaan golongan Bumiputera.

“Mesin ini sudah melalui beberapa percubaan dan hasilnya cukup memberangsangkan. Justeru, kami bercadang memasarkan mesin ini selepas menambah baik supaya ia dapat berfungsi dengan baik dan sempurna,” katanya.

Produk itu berjaya meraih pingat emas kategori Agriculture, Agroculture and Environmental serta Anugerah Best of The Best kategori sama di Ekspo Rekacipta dan Pameran Penyelidikan UniMAP 2015, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 6:05 AM