MAHDZIR bersama warga kerja Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan ketika lawatan ke jabatan itu. FOTO Bernama

MAHDZIR bersama warga kerja Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan ketika lawatan ke jabatan itu. FOTO Bernama

Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah yang baru, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau berazam mahu mengukuhkan parti serta mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Beliau yang diumumkan pelantikannya hari ini berkata, akan turut sama membantu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang juga dilantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah melaksanakan program komuniti dari semasa ke semasa.

"Apa yang penting adalah bagaimana program itu hendak dibuat, memberi keyakinan rakyat kepada kerajaan serta memperkukuhkan parti.

"Kita mesti melaksanakan program menyeluruh untuk parti malah, di luar parti juga perlu dalam memberi keyakinan rakyat kepada kerajaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan meluangkan masa kira-kira tiga jam melawat dan mendengar taklimat di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Presint 16 di sini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengumumkan pelantikan Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah yang baru menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Tengku Adnan turut mengumumkan Mahdzir dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, juga berkuat kuasa hari ini.

FOTO Fariz Iswadi Ismail

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 4:22 PM