Antara menteri besar, ketua menteri dan pucuk pimpinan parti komponen BN yang hadir di Seri Perdana siang tadi.
Antara menteri besar, ketua menteri dan pucuk pimpinan parti komponen BN yang hadir di Seri Perdana siang tadi.

Azura Abas; Siti A’isyah Sukaimi; Suhaila Shahrul Annuar; Fairuz Mohd Shahar dan Nursyahirah Marzuki

[email protected]

DATUK Seri Najib Razak mengadakan pertemuan tertutup dengan semua menteri besar dan ketua menteri serta beberapa pemimpin tertinggi parti komponen Barisan Nasional (BN) di kediaman rasminya di Seri Perdana di Putrajaya, hari ini.

Difahamkan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN mengadakan pertemuan itu bagi menentukan senarai akhir calon BN yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pertemuan itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor,

Antara mereka yang paling awal dilihat memasuki Kompleks Seri Perdana seawal jam 8.30 pagi adalah Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Pemimpin lain termasuk Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman serta Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Pengerusi Badan Perhubungan BN Selangor, Tan Sri Noh Omar juga dilihat memasuki Kompleks Seri Perdana.

Selain itu, pemimpin parti komponen BN yang dilihat hadir adalah Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Subramaniam ketika ditanya mengenai pertemuan itu hanya menjawab ringkas, “Okay, okay”.

BN dijangka mengumumkan calon akhirnya dalam masa terdekat susulan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 April sebagai hari penamaan calon, diikuti 9 Mei sebagai hari mengundi bagi PRU-14.

Pengundian awal ditetapkan pada 5 Mei dengan tempoh berkempen selama 11 hari, berbanding 15 hari pada PRU-13.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 10:14 PM