Chiew (kanan) bersama Pengarah Bahagian Pembolehan Digital MDeC, Wan Murdani Wan Mohamad (tengah) dan Pengarah Jabatan Pembangunan Teknologi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Badaruzzaman Mat Nor (kiri) pada majlis pelancaran pejabat (MyIX), baru-baru ini.
Chiew (kanan) bersama Pengarah Bahagian Pembolehan Digital MDeC, Wan Murdani Wan Mohamad (tengah) dan Pengarah Jabatan Pembangunan Teknologi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Badaruzzaman Mat Nor (kiri) pada majlis pelancaran pejabat (MyIX), baru-baru ini.

Kuala Lumpur: Persatuan Pengendali Internet Malaysia (MyIX) menjangkakan trafik Internet meningkat 50 peratus tahun ini sama seperti pencapaian purata direkodkan tahun sebelumnya bersandarkan peningkatan penggunaan Internet di Malaysia.

Pada tahun lalu, MyIX mencatatkan 145 Gbps sesaat dan angka itu meningkat 53 peratus berbanding November 2014 selari kadar penembusan Internet kepada 72 peratus isi rumah dan 144 peratus Internet mudah alih setakat suku kedua 2015.

Pengerusinya, Chiew Kok Hin berkata, prestasi industri Internet di Malaysia dijangka terus kukuh dan berkembang memandangkan ia menjadi salah satu keperluan hidup manusia bukan saja di Malaysia, malah seluruh dunia.

Beliau berkata, walaupun Malaysia berdepan cabaran ekonomi dan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan langkah penjimatan dalam pembangunan, namun pihaknya melihat pembangunan industri Internet tidak akan menerima kesan langsung kerana ia infrastruktur penting dalam pembangunan lain.

“Kerancakan industri di Malaysia dapat dilihat apabila wujud kemasukan operator pembekal kandungan video secara streaming seperti Netflix dan iFlix menjalankan aktiviti pemasaran secara agresif.

“Penawaran produk berasaskan Internet juga dilihat mula mendapat perhatian di Malaysia dan berpotensi meningkatkan trafik pengguna Internet tempatan,” katanya pada majlis pelancaran pejabat baru MyIX di sini, baru-baru ini.

Pejabat baru MyIX yang menelan belanja RM1.5 juta adalah bangunan tetap yang akan digunakan persatuan itu yang sebelum ini pernah beroperasi di beberapa lokasi di Kuala Lumpur.

Chiew berkata, pejabat baru yang terletak di SetiaWalk Puchong membolehkan pihaknya melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk meningkatkan sumber manusia dalam pengetahuan teknikal industri telekomunikasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 6:52 AM