Hazwan Faisal Mohamad

Kuala Lumpur: Harga jalur lebar yang mahal menyebabkan banyak perniagaan tempatan tidak mahu menaiktaraf kelajuan sedia ada kepada lebih tinggi biarpun banyak negara maju sudah menuju ke arah itu.

Pengarah Kanan, Pejabat APAC CTO dan Pembangunan Perniagaan Strategik Cienna, Anup Changaroth berpendapat harga jalur lebar di Malaysia secara tradisional masih tinggi dan tidak banyak berubah kerana tidak mempunyai persaingan yang mencukupi di dalam pasaran ketika ini.

“Selain itu, secara amnya, kebanyakan perniagaan sudah berasa selesa dengan kelajuan Internet tradisional ketika ini seperti 10 Megabit/persaat (Mbps), 100 Mbps atau 1 Gigabit/persaat (Gbps).

“Mereka tidak biasa dengan kelajuan yang lebih tinggi seperti 100 Gbps atau 1 Terabit/persaat yang mana mereka perlu mengalaminya terlebih dulu sebelum dapat menaik taraf.

“Namun semua ini sedang berubah, dengan perkembangan teknologi seperti pengenalan rangkaian mudah alih generasi kelima (5G) tidak lama lagi akan mengubah landskap cara perniagaan dijalankan termasuk di Malaysia,” katanya pada taklimat media, di sini.

Ciena Corporation yang berpangkalan di Maryland, Amerika Syarikat adalah syarikat pembekal peralatan rangkaian telekomunikasi, perisian dan perkhidmatan di peringkat global.

Mengulas mengenai pasaran Ciena di Malaysia, Changaroth berkata, negara ini adalah antara pasaran penting syarikat itu di Asia Pasifik yang mana rantau ini menyumbang kira-kira 21 peratus pendapatan kepada syarikat.

Jelasnya, pelaburan di Malaysia kini adalah pada masanya kerana pihaknya berpendapat pasaran bagi sektor telekomunikasi akan berkembang pesat, sekali gus menawarkan banyak peluang kepada Ciena.

“Sekarang ini banyak pusat data di Malaysia sedang berkembang dan semua pihak akan mampu membantu pasaran untuk mengalami pertumbuhan dari segi kemahiran dan kapasiti,” katanya.

Beliau juga berharap Ciena akan berjaya memenangi kontrak daripada beberapa penyedia perkhidmatan telekomunikasi tempatan bagi menyediakan perkhidmatan pengautomasian rangkaian pada akhir tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 10:36 AM