CHIEW Kok Hin. FOTO Amirudin Sahib.
CHIEW Kok Hin. FOTO Amirudin Sahib.
Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Malaysia Internet Exchange (MyIX), juga dikenali sebagai Persatuan Pengendali Internet Malaysia menekankan terdapat keperluan kepada kerajaan untuk mewujudkan dasar yang mentadbir data.

Pengerusinya Chiew Kok Hin berkata, pihaknya melihat ia sebagai langkah penting kepada Malaysia untuk mempunyai dasar yang mentadbir data dan perkara berkenaan turut dicerminkan melalui dasar syarikat.

Beliau berkata, sebahagian syarikat atau peserta industri mendapati data atau rangkaian mereka adalah selamat, jadi mereka boleh menempatkan data mereka di luar Malaysia manakala sebahagian mendapati data mereka sangat sensitif.

“Kerahsiaan data adalah tanggungjawab utama syarikat yang mengumpulkan data dan bagi kami, MyIX adalah saluran yang menyokong syarikat-syarikat ini.

“Sudah tentu kami juga akan menyediakan keselamatan yang diperlukan seperti yang dipraktikkan bagi memastikan tiada sebarang kompromi di bahagian kami dan ia adalah peranan kami dalam MyIX,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MyIX ke-11 di sini, semalam.

Sementara itu, Chiew berkata, rangka kerja kawal selia sokongan memainkan peranan penting dalam memastikan ekosistem Internet adalah kondusif dan selamat.

Menurutnya, ia juga adalah penting untuk membantu menarik lebih ramai penyedia perkhidmatan internet asing (ISP) dan penyedia perkhidmatan kandungan (CSP) untuk beroperasi di Malaysia.

“Ketika ini terdapat lebih daripada 10 penyedia kandungan antarabangsa yang mempunyai operasi langsung di Malaysia dan ia termasuk rakan kongsi MylX seperti Facebook, Google, Microsoft, Akamai, Amazon, Alibaba, Cloudflare, Limelight, Tencent dan Imperva,” katanya.

Katanya, MylX akan terus memainkan peranan sebagai sebahagian daripada pertukaran data untuk menggalakkan penghalaan trafik yang cekap menerusi pertukaran data secara langsung.

Selain itu, MylX akan menjadi hos bagi acara Peering Asia 3.0 yang akan berlangsung pada 6 hingga 7 November depan di Kuala Lumpur, anjuran bersama Malaysia Network Operators Group.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 12:00 PM