INTER memenangi Scudetto dengan kelebihan 19 mata mengatasi AC Milan di tempat kedua. FOTO AFP
INTER memenangi Scudetto dengan kelebihan 19 mata mengatasi AC Milan di tempat kedua. FOTO AFP
Reuters

Rom: Pemilik baharu Inter Milan dari Amerika Syarikat (AS), Oaktree berikrar untuk 'memastikan kestabilan kewangan' sentiasa akan berlaku terhadap juara liga Itali itu selepas Suning (pemilik terdahulu) gagal membayar hutang bernilai ratusan juta euro.

Konglomerat China, Suning dan presiden Steven Zhang melepaskan pemilikan Inter kepada Oaktree pada 22 Mei selepas secara rasmi dinobatkan sebagai juara Serie A buat kali ke-20.

"Hari ini menandakan lembaran baharu dalam perkongsian antara Inter dan Oaktree. Semasa kami mengambil alih pemilikan, kami mahu mengulangi komitmen kami terhadap kemakmuran dan kejayaan kelab," kata dana AS Oaktree, yang menguruskan aset AS$192 bilion (RM900 bilion).

"Kami bangga pembiayaan ini membantu menyokong kejayaan kelab sejak tiga tahun lalu dan berharap dapat bekerjasama rapat dengan pasukan pengurusan semasa untuk membina momentum kejayaan kali kedua yang bersejarah itu (Scudetto ke-20).

"Atas sebab ini, kami memberi tumpuan untuk memastikan kestabilan operasi dan kewangan untuk membantu menyampaikan kejayaan yang konsisten kepada kelab."

Inter menjadi kuasa besar selepas Suning memperoleh sekitar 68 peratus daripada kelab itu pada 2016, dengan tujuh trofi termasuk dua kejuaraan Serie A dan dua perlawanan akhir Eropah.

Tetapi Oaktree mengambil alih kawalan selepas tidak membayar balik pinjaman tiga tahun kira-kira €395 juta (RM2 bilion) kepada syarikat induk Inter Milan.

Pasukan Simone Inzaghi merangkul kejuaraan tahun ini, memenangi Scudetto dengan kelebihan 19 mata mengatasi AC Milan di tempat kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 12:17 PM