Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail
Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail
Aizat Sharif


Kangar: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail selamat menjalani pembedahan kaki di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, semalam.

Menurut kenyataan Istana Arau hari ini, baginda berada dalam keadaan stabil dan pembedahan selesai tanpa sebarang masalah.

"Baginda dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid menzahirkan ucapan berbanyak terima kasih kepada seluruh rakyat jelata.

"Dalam keadaan ini juga, baginda akan terus bersemayam di Wad Diraja HTF sejurus selesai pembedahan bagi menjalani proses rawatan pemulihan sepenuhnya dan juga untuk berehat.

"Selain itu juga, baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih semua kaum kerabat serta sahabat handai yang tidak putus-putus mendoakan kehadrat Allah SWT agar baginda dikurniakan keselamatan, kesejahteraan dan kesembuhan segera," katanya.

Pada kesempatan yang sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Faizuddin Putra Jamalullail yang kini memangku jawatan selaku Pemangku Raja Perlis menzahirkan seruan kepada seluruh rakyat jelata agar sentiasa berdoa untuk kesejahteraan serta kesembuhan buat baginda.

"Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Tengku Puteri Mahkota Perlis, Datuk Seri Sharifah Fazira Jamalullail turut berangkat ke HTF ketika pembedahan itu dilaksanakan.

"Turut sama adalah cucunda baginda iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail," katanya.

Pada 1 April tahun lalu, Raja Perlis, baginda pernah menjalani pembedahan membaik pulih kaki dan buku lali sebelah kanan di Hospital Putrajaya (HPj).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 11:38 AM