BERNAMA

Kuala Lumpur: Permintaan jalur lebar internet di Malaysia mencecah paras tertinggi baharu dengan meningkat 20 peratus bagi tahun ke tahun pada 2022 hingga 2023, kata Malaysia Internet Exchange (MyIX).

Jumlah permintaan itu di paras tertinggi 2.311 TeraBit sesaat (Tbps) pada tahun lepas, melonjak daripada kemuncak 1.938 Tbps pada 2022 dan tertinggi pernah dicatatkan sejak penubuhan MyIX pada 2006.

MyIX yang juga inisiatif di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah badan pertukaran internet terbesar di Malaysia dan bermatlamat meningkatkan infrastruktur kemudahan itu dengan memperkasa kalangan ahlinya untuk saling bertukar dan mengekalkan aliran trafik internet peringkat tempatan serta mengoptimumkan prestasi rangkaian.

"Hasil dapatan kami menunjukkan peningkatan ketara aktiviti dalam talian di seluruh negara," kata Pengerusi MyIX Chiew Kok Hin dalam satu kenyataan.

Beliau berkata sebagai reaksi terhadap peningkatan permintaan itu, jawatankuasa MyIX telah memutuskan untuk mengurangkan harga port sebanyak 10-20 peratus bagi menawarkan lebih banyak manfaat kepada kalangan ahli mulai 1 April 2024.

Berikutan itu, secara khususnya kos port bagi 1 gigabit sesaat (Gbps) diturunkan kepada RM400 sebulan daripada RM500), 10Gbps dikurangkan kepada RM1,600 sebulan (berbanding RM2,000) manakala 100Gbps kini RM7,200 sebulan (sebelum ini RM8,000).

"Semakan penetapan harga MyIX itu menjadikan kami antara yang paling berpatutan dari segi pertukaran internet di rantau ini," katanya.

Malah, Chiew berkata rakan setara yang aktif turut memberi nilai kepada komuniti yang seterusnya dapat menyokong matlamat Malaysia bagi meningkatkan kelajuan internet, kemampuan dan akses selain turut menyumbang kepada masyarakat inklusif secara digital.

Pada masa sama, katanya, pelarasan harga strategik itu juga membolehkan MyIX mengukuhkan lagi peranan Malaysia dalam ekonomi digital serantau, menggalakkan pertumbuhan selain inovasi di semua peringkat.

Sementara itu, mesyuarat agung tahunan baru-baru yang turut dihadiri oleh Ketua Pembangunan Teknologi MCMC Mohamed Hakim Othman, turut menyaksikan MyIX memperkukuh komitmennya bagi memupuk barisan bakat tempatan.

Sejajar dengan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat bagi membangunkan tenaga kerja mahir, MyIX juga baru-baru ini telah menganjurkan program latihan percuma untuk memperkasa kalangan individu terpilih dengan aspek pengetahuan dan kepakaran dalam ekonomi digital pada masa ini, khususnya infrastruktur rangkaian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 11:56 AM