Oleh Afiq Hanif


2016 yang baru menjengah membawakan aura teknologi lebih dahsyat bukan saja pada telefon pintar, malah beberapa teknologi lain seperti peranti boleh pakai (wearable) dan roda digital seperti Segway mahupun Airwheel.

Tahun ini juga permulaan kepada Internet untuk segalanya (IoT) atau Internet of Things mula menunjukkan taring, bermakna mungkin periuk nasi anda sendiri akan dipasang dengan Internet membolehkan anda memasak nasi jauh dari rumah.

Peranti elektronik mengambil alih manusia untuk menjadi pengguna Internet paling besar dalam dunia baru yang membabitkan sensor elektronik, rumah pintar dan tanda atau tag yang mampu mengesan tabiat dan pergerakan pengguna.

Revolusi teknologi masa depan menyaksikan manusia, perkakasan elektronik, objek dan pangkalan data berhubungan dalam masa sebenar melalui Internet.

Dalam dunia masa kini, kita menuju ke era baru yang nyata dengan menyaksikan Internet muncul sebagai kuasa utama pelbagai penggunaan sedangkan manusia hanya menjadi minoriti.

Fiksyen sains secara perlahan menjadikan fakta sains itu ke dalam IoT berasaskan sambungan sistem rangkaian yang sentiasa wujud.

Dunia kini menghasilkan kepintaran dengan menyaksikan objek seakanakan hidup yang membolehkannya berkomunikasi dengan sistem rangkaian.

Perkakasan rumah yang dikawal secara jauh oleh komputer kini sudah wujud selain kereta prototaip dengan sensor mengelak kemalangan manakala telefon pintar boleh digunakan sebagai tiket kapal terbang.

Di Malaysia, pelaksanaan Pelan Induk Internet Untuk Segalanya menjadi petunjuk masa depan Internet yang lebih luas.

Jika ada pendekatan yang jelas, tidak mustahil Malaysia akan menjadi peneraju di rantau Asia Tenggara dalam IoT.

Kajian menunjukkan, terdapat 50 bilion peranti disambungkan pada Internet pada tahun 2020 berbanding jumlah penduduk yang ketika itu hanya berjumlah 7.6 bilion.

Selain peranti, syarikat telekomunikasi perlu bersedia dengan capaian rangkaian yang lebih baik bagi menghadapi IoT secara bersepadu.

Sekiranya rangkaian masih di takuk lama meskipun wujud akses 4G namun tidak stabil, Malaysia mungkin menghadapi masalah serius menghadapi IoT yang boleh menyebabkan kita jauh ketinggalan di belakang.

Alat pengangkut peribadi pintar seperti ‘hoverboard, mini wheels, basikal serta skuter elektrik dan segway mini’ pula terus menjadi trend di Malaysia terutama apabila munculnya produk yang dijual pada harga murah.

Pada masa sekarang pun, peranti seperti ini mampu diperoleh pada harga sekitar RM1,000 hingga RM2,000 saja.

Apatah lagi, trendnya yang semakin meningkat menyebabkan beberapa syarikat penerbangan seperti AirAsia dan Malindo Air melarang daftar masuk dan dibawa ke dalam semua penerbangan syarikat terbabit.

Peranti berkenaan dikategorikan sebagai barang berbahaya selari dengan arahan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCAM) dan disyorkan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Internet pula terutama membabitkan kelajuan dan harga terus menjadi penentu Malaysia pada tahun ini apabila rakyat terus mengharapkan teknologi itu sebagai nadi penggerak kehidupan.

Lebih-lebih lagi, separuh dari negara memba­ngun terbabit terletak di Asia termasuk Malaysia yang menunjukkan kepentingan rantau ini dalam penggunaan Internet pada masa depan.

Meskipun Amerika Syarikat merekodkan 15 juta pengguna Internet baru pada 2015, tetapi negara membangun dilihat menjadi tumpuan pasaran apatah lagi perkembangan Internet bakal membuka peluang yang lebih besar.

Google turut menjangkakan negara yang masih terkebelakangan dari sudut ekonomi seperti Pakistan dan Filipina juga menyaksikan jumlah peningkatan pengguna Internet yang tinggi dan tidak jauh dari negara membangun.

Pengguna di negara ini menghabiskan masa kira-kira 19.8 jam secara purata seminggu melayari Internet dengan laman sosial menjadi aktiviti utama mereka.

Ia sekali gus mengalahkan aktiviti menonton televisyen yang berada di kedudukan kedua iaitu hanya 10.6 jam masa dihabiskan.

Laman video terkemuka YouTube pula terus menjadi antara produk Google yang mampu melonjakkan kehidupan masyarakat pada masa depan.

Ini terutama apabila betapa mudahnya menstrim secara langsung bersama keghairahan rakyat negara ini mem’viral’kan segala-galanya.

Anda boleh saksikan, di sesetengah negara membangun, saluran televisyen mudah dikawal dan memaparkan berita tertentu saja.

Adakalanya, ia tidak lengkap, jadi dengan penggunaan YouTube, masyarakat boleh mengetahui maklumat secara lebih terperinci.

YouTube juga membolehkan pengguna mempelajari pelbagai pengetahuan baru tanpa memerlukan kos yang tinggi untuk mengaksesnya.

YouTube mempunyai saluran berkaitan pendidikan yang mampu mendidik pengguna tanpa perlu ke universiti.

Misalnya, saluran Khan Academy yang menawarkan video pembelajaran, sains, matematik dan sejarah yang dimuatkan dalam laman terbabit dan mampu diakses secara percuma.

Sekali gus, ia memungkinkan masyarakat yang selalunya mendaftar di kolej dan sebagainya untuk mendapatkan pengajian serta mengikutinya dengan mudah di samping mampu diulang bagi tujuan ulangkaji.

Kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM) menjalin kerjasama dengan pembekal perkhidmatan televisyen Internet, Iflix sebagai tambahan kepada perkhidmatan HyppTV yang disediakan untuk pelanggan Unifi dan Streamyx juga antara pembuka selera strim di Malaysia pada tahun ini

Perkhidmatan itu memberi peluang kepada pelanggan Streamyx dan Unifi untuk mendapat akses kepada rancangan disediakan Iflix secara percuma selama setahun.

Kerjasama yang dijalin dengan Iflix membolehkan TM menawarkan puluhan ribu jam rancangan televi–syen dan filem terus kepada pelanggan melalui Iflix.

Malah, buat pertama kalinya di dunia, sistem Iflix boleh mengenal pasti sambungan Unifi serta-merta dan menanda peranti pelbagai skrin milik pelanggan bagi mengaktifkan akaun Iflix. Rancangan yang ditawarkan Iflix boleh ditonton secara stream atau offline.

Iflix menjadi antara trend 2016 yang perlu diperhatikan dengan lebih dekat oleh pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 5:00 AM