AZADAN (kanan) bersama anak Allahyarham Nazrul, Alif pada majlis tahlil arwah anjuran Rabbani, baru-baru ini.
AZADAN (kanan) bersama anak Allahyarham Nazrul, Alif pada majlis tahlil arwah anjuran Rabbani, baru-baru ini.
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Nasib balu dan enam cahaya mata anggota Rabbani iaitu Allahyarham Nazrul Azhar Tamrin, 47, akan terbela dengan bantuan kewangan hasil caruman dibuat dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ketika hayatnya.

Ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, bagaimanapun urusan tuntutan kewangan daripada Perkeso itu masih dalam proses diseliakan oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Salman al-Farisi.

"Alhamdulillah, urusan tuntutan Perkeso Allahyarham Nazrul masih dalam proses oleh pihak Seniman yang membantu. Ini kerana, arwah memang ada membuat caruman sendiri ketika bergerak aktif bersama Rabbani dulu.

"Semoga urusan tuntutan itu dipermudahkan. Malah, Rabbani juga akan terus membantu keluarga arwah sebagaimana kami lakukan tujuh tahun lalu apabila Allahyarham Nazrul 'direhatkan' akibat sakit buah pinggang dihidapinya.

"Rabbani setakat ini memang prihatin terhadap semua anggota kami. Bahkan, Rabbani bersyukur dapat mengadakan majlis tahlil untuk Allahyarham Nazrul di Masjid Saujana Utama, Sungai Buloh yang dihadiri kira-kira 200 orang, baru-baru ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Azadan, dia tidak menyangka begitu ramai ahli keluarga, rakan dan kenalan yang sudi menghadirkan diri di majlis tahlil itu, termasuk mendapat tajaan makanan daripada pelbagai pihak yang ingin menyumbang yang disifatkannya sebagai 'rezeki' arwah.

"Tujuan Rabbani menganjurkan majlis tahlil arwah itu juga kerana kita ada keluarga yang ramai dan kawan-kawan pun ramai. Begitu juga, Rabbani sebenarnya nak menyatukan kita semua yang masih ada ini.

"Bagi peringatan kepada kita semua yang masih ada dan menjadi contoh. Selain pahala majlis tahlil itu disedekahkan kepada arwah, dalam masa sama untuk kita yang ditinggalkan ini terus kuat menjaga hubungan silaturahim," katanya.

Difahamkan Allahyarham Nazrul menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Saujana Utama, Sungai Buloh, jam 4.44 petang pada 22 Mei lalu selepas bertahun menderita penyakit buah pinggang kronik.

Menurut Azadan, tiga hari sebelum 'pemergiannya', arwah Nazrul juga ada datang bertemunya untuk meminta bantuan kewangan sebanyak RM15,000 bagi pembedahan tangannya yang bengkak akibat kedua-dua buah pinggang sudah rosak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 11:55 AM