AKSI  Aaron dan Wooi Yik di National Exhibition Centre. FOTO Aswadi Alias
AKSI Aaron dan Wooi Yik di National Exhibition Centre. FOTO Aswadi Alias
Daripada Amirullah Andi Nur


Birmingham: Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky membayangkan skuad negara berpotensi besar memenangi pingat menerusi acara berpasukan campuran.

Semalam, Malaysia mengesahkan tempat ke suku akhir bagi acara berkenaan selepas mencatatkan dua kemenangan dalam Kumpulan D. Pada aksi pembukaan, skuad negara membenam Zambia 5-0, sebelum turut mencatatkan keputusan sama ke atas Jamaica. "Potensi itu ada," katanya yang bakal mengemudi skuad negara menentang Afrika Selatan hari ini bagi melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan.

"Saya lihat barisan pemain kita menunjukkan persembahan baik dan semangat tinggi untuk melangkah lebih jauh. Mungkin pasukan di peringkat kumpulan yang ditemui, bukan lawan sebenar kita, namun ia memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan persembahan selepas ini,"

Pada aksi bertemu Zambia, skuad negara menurunkan beregu campuran, Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing, Ng Tze Yong (perseorangan lelaki), Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) dan Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita).

Ketika bertemu Jamaica, tempat Kiang Meng-Pei Jing digantikan Chan Peng Soon-Cheah Yee See manakala empat lagi dikekalkan. Ketika ditemui di Pusat Pameran Nasional (NEC) Birmingham, di sini, Rexy berkata cabaran sebenar negara akan ditentukan pada peringkat suku akhir esok.

Katanya, proses undian akan dilakukan sebaik saja semua perlawanan peringkat kumpulan berakhir hari ini.

"Kita jangkakan saingan sengit bakal hadir dari India, Singapura selain tuan rumah sendiri. Tapi kita sudah bersedia bertemu dengan mana-mana pasukan," katanya.

Skuad badminton sebelum ini diletakkan sebagai antara satu daripada enam sukan yang bakal menyumbang pingat emas kepada kontinjen dengan Aaron-Wooi Yik sebagai sandaran utama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 3:16 PM