Kuala Lumpur: Pertemuan semula dengan Indonesia di separuh akhir Piala Axiata 2014 hari ini tidak bermakna skuad negara mudah untuk dipermainkan seperti ketika tumpas 0-4 di pusingan awal Sabtu lalu.

Menurut pemain beregu lelaki, Tan Wee Kiong walaupun kalah teruk kepada pasukan sama di pusingan awal, tetapi bila sampai ke peringkat separuh akhir situasi pasti berbeza.

“Sampai di tahap ini ceritanya tidak sama, malah kami pula beraksi di gelanggang sendiri dan lebih bersemangat untuk berjumpa semula dengan mereka,” katanya.

Wee Kiong boleh dianggap antara pemain cemerlang di pusingan awal pertandingan yang mengikut format liga apabila mencatat empat kemenangan selepas diturunkan enam kali oleh jurulatih Pang Cheh Chang.

Berdasarkan statistik Wee Kiong mungkin sekali lagi diturunkan hari ini, bergandingan dengan pasangan berpengalaman Tan Boon Heong untuk perlawanan beregu lelaki.

Boon Heong pemain paling cemerlang dalam skuad Piala Axiata kali ini apabila bermain lima kali dengan empat kemenangan.

Sementara itu, pemain beregu campuran, Lai Pei Jing berkata, dia tidak akan berfikir panjang untuk perlawanan ini jika ditugaskan untuk meraih mata kemenangan terletak kepada mereka.

“Saya akan bermain tanpa banyak berfikir dan harap boleh meraih mata buat skuad negara,” kata pemain kelahiran Kuantan itu.

Berdasarkan statistik perlawanan pusingan awal, Malaysia mungkin meletakkan Chong Wei Feng sebagai perseorangan lelaki, diikuti Tee Jing Yi (perseorangan wanita), Boon Heong-Wee Kiong (beregu lelaki) dan Chan Peng Soon-Pei Jing (beregu campuran).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 7:43 AM