PELAJAR SMK Ungku Husin mengambil bahagian dalam acara merentas desa.
PELAJAR SMK Ungku Husin mengambil bahagian dalam acara merentas desa.
Oleh Zul Ikhwan Muhammad


Mersing: Hasrat Temenggong untuk mencipta kejuaraan hatrik Kejohanan Merentas Desa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Husin, Endau tidak kesampaian apabila disekat Bendahara.

Dalam kejohanan disertai empat rumah sukan membabitkan lebih 1,000 pelajar tingkatan satu hingga lima itu, Bendahara muncul juara selepas mengumpul 511 mata manakala Temenggong memungut 486 mata untuk naib juara.

Laksamana yang memperoleh 474 mata, ketiga manakala Panglima dengan 473 mata, keempat.

Hadiah pemenang disampaikan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sulong Khaled.

Ketua Bendahara Junaida Basiron, 39, berkata, kekuatan mental serta latihan awal anak buahnya ditambah komitmen semua guru membolehkan mereka dinobatkan juara keseluruhan kali ini.

“Kemenangan mengatasi pasukan pilihan ternyata menyuntik semangat kami untuk muncul juara keseluruhan dalam kejohanan sukan tara serta kejohanan balapan dan padang yang akan diadakan bulan depan,” katanya.

Katanya, Bendahara berupaya menonjolkan keupayaan sebenar melalui perancangan taktikal yang diterapkan kepada pesertanya sepanjang latihan sebelum ini.

Sementara itu, pemenang kategori lelaki bawah 18 tahun edisi lalu, Mohd Asri Madilah, 17, berkata dia terkilan kerana gagal mempertahankan kejuaraan dimenanginya tahun lalu gara-gara kesilapan taktikal serta tempoh latihan singkat.

“Walaupun gagal muncul pemenang kategori utama, kejohanan ini tetap meninggalkan kenangan manis kerana ia penyertaan terakhir saya sebelum menamatkan persekolahan tahun ini. Saya akan berusaha meraih sekurang-kurangnya dua pingat emas dalam Kejohanan Balapan dan Padang nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 11:01 AM