PESERTA Rumah Panglima meraikan kejayaan muncul juara.
PESERTA Rumah Panglima meraikan kejayaan muncul juara.
Oleh Khairu Rasid Mohamad

Kota Tinggi: Buat julung kali kejohanan merentas desa SMK Tan Sri Jaafar Albar 2015 (SMKTSJA) mencipta sejarah baru apabila dua rumah sukan muncul juara keseluruhan.

Rumah Panglima (Merah) dan Rumah Temenggong (Hijau) menguasai keseluruhan kejohanan itu selepas memperoleh 501 mata.

Setiausaha Sukan Mohd Rasidi Md Yusop berkata, situasi itu tidak pernah berlaku sepanjang kejohanan dan dianggap sejarah buat SMKTSJA.

Tempat ketiga diraih Rumah Bendahara (Kuning) apabila mengutip 427 mata manakala keempat milik Rumah Laksamana (Biru) 364.

Ketua pasukan Rumah Panglima Noresham Mahat berkata, kejayaan itu hasil kerjasama guru rumah sukan serta pelajar.

Lebih manis lagi, kejayaan kali ini memperbaiki rekod tahun lalu selepas sekadar bergelar naib juara.

Kejohanan itu bertujuan mencungkil bakat pelajar bagi melatih atlet ke temasya sukan tahunan.

Dalam pada itu, kejohanan merentas desa itu pembuka tirai takwim sukan sekolah.

Mata diperoleh setiap rumah sukan akan dikumpul hingga temasya sukan tahunan berlangsung dalam masa terdekat.

Juara keseluruhan diambil kira daripada acara merentas desa, sukan tara serta balapan dan padang.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Pengetua SMKTSJA Ishak Mahpoz.

Turut hadir GPK1 Rahmah Ayob, GPK HEM Ismail Md Salleh, GPK Kokurikulum Amdan Embong dan GPK Tingkatan 6 Arif Shah Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 January 2015 @ 8:00 AM