AZRIF (kiri) cetus kontroversi ingin berhijrah ke Johor DT.
AZRIF (kiri) cetus kontroversi ingin berhijrah ke Johor DT.
Oleh Firdaus Hashim


Shah Alam: “Buang yang keruh ambil yang jernih,” kata Naib Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Noor Azman Abbas kepada tonggak pertahanan kanan pasukan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.

Katanya, penyokong setia Merah Kuning sedia memaafkannya dan berjanji akan berdiri teguh di belakang pemain berbakat itu biarpun sebelum ini mencetuskan sedikit kontroversi.

“Kami tetap menyokong Azrif sepenuh hati kerana dia antara pemain penting buat pasukan sejak musim lalu.

“Sumbangan pemain muda itu cukup besar terutama dalam kejayaan pasukan memastikan Misi 33 menjadi kenyataan musim lalu. Malah keupayaannya membentuk benteng pasukan cukup dikagumi.

“Jadi sudah tentu keputusan mengekalkan dia dalam pasukan tepat dan kami akan sentiasa memberi sokongan walau apapun terjadi,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Awal minggu ini, bekas pemain Harimau Muda itu dikatakan akan menyertai Johor Darul Ta’zim (Johor DT) kendalian Mario Gomez musim ini, namun hasrat itu dibatalkan selepas mendapati Azrif masih mempunyai kontrak lanjutan bersama Red Giants hingga 30 November tahun depan.

Malah, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) juga difahamkan enggan melepaskan pemain itu dan menegaskan Azrif tetap akan beraksi buat pasukan juara Piala Malaysia itu musim ini.

Jelas Noor Azman lagi, pihaknya bercadang untuk bersemuka dengan Azrif dalam masa terdekat ini bagi menyampaikan tanda sokongan kepada pemain berkenaan.

“Buat Azrif, kami selaku penyokong dan kelab penyokong lain menyokong dia dan teruskanlah memberi sumbangan kepada pasukan. Kami di belakang dia, harap Azrif terus maju ke hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2016 @ 5:10 AM