FOTO Shazreen Zamzuri
FOTO Shazreen Zamzuri
Firdaus Hashim


Shah Alam: Suasana suram dan lengang menyelubungi perkarangan Stadium Shah Alam biarpun venue itu akan menyaksikan pertembungan aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia antara tuan rumah Selangor dan T-Team malam ini.

Situasi itu nyata berbeza dengan bahang saingan yang sama di Stadium Darul Aman, Alor Star di mana penyokong sanggup bermalam dan bersesak-sesak untuk mendapatkan tiket aksi Kedah berdepan Polis Diraja Malaysia (PDRM) malam tadi.

Berdasarkan tinjauan Arena Metro selama dua jam, kehangatan aksi separuh akhir langsung tidak dirasai malah kehadiran penyokong Merah Kuning juga boleh dikira sekali gus menandakan tahap sokongan yang kurang daripada penyokong tuan rumah.

Bagi Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Faizal Wahid, sambutan dingin penyokong Red Giants mungkin disebabkan atas rasa ketidakpuasan hati prestasi pasukan yang terumbang ambing sebelum ini.

"Sedih tengok keadaan ini umpama tiada apa-apa yang berlaku walaupun pasukan kesayangan kita berjaya mara ke separuh akhir," katanya kepada Arena Metro sebentar tadi.

Sementara itu, salah seorang penyokong T-Team, Khairul Hanif Khairudin jelas terkejut dengan sambutan dingin peminat terutamanya penyokong tuan rumah.

"Saya baru sampai dari Kemaman pagi tadi dan terus datang ke sini (Stadium Shah Alam) untuk memberi tiket.

"Terkejut juga apabila melihat suasana seperti ini. Mungkin mereka (penyokong Selangor) akan keluar mendapatkan tiket di sebelah petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2016 @ 12:04 PM