PENULIS (kiri) bersama pemandu pelancong dan pemandu di Khunjerab Pass.
PENULIS (kiri) bersama pemandu pelancong dan pemandu di Khunjerab Pass.
Halimaton Sa'adiah Daud


PERANCANGAN untuk ke Pakistan mula dirancang sejak lima tahun lalu iaitu pada 2017 sebaik penulis kembali dari lawatan ke Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang.

Impian utama penulis ketika itu hanya untuk melengkapkan perjalanan di Lebuhraya Karakoram (juga dikenali sebagai China-Pakistan Friendship Highway) yang dibina di Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang dan sebelah utara Pakistan dengan fokus utama penulis untuk menjejakkan kaki di sempadan kedua-dua negara ini di satu lokasi iaitu Khunjerab Pass.

Bagi mendapatkan satu pengembaraan yang berbaloi, penulis bersama beberapa ahli keluarga memutuskan untuk menikmati keindahan Pakistan selama 19 hari pada musim luruh.

Penulis memilih melakukan lawatan sulung ke negara terbabit pada akhir Oktober lalu sehingga pertengahan November lalu ke empat wilayah di Pakistan iaitu Islamabad Capital Territory (ICT), Khyber Pakhtunkhwa (KPK), Gilgit Baltistan (GB) dan Punjab.

Bagi merealisasikan kunjungan ini, penulis menggunakan khidmat pemandu pelancong dari Globetrotters Pakistan yang beribu pejabat di Lahore.

Penulis bernasib baik kerana pengasas Globetrotters Pakistan sendiri iaitu Mr Osama Shahid Bangash menguruskan kami dari awal termasuk penyediaan

'Letter of Invitation' untuk urusan visa, pengangkutan, pemandu kenderaan, makan serta minum, penginapan, atur cara lawatan, pemeriksaan keselamatan di 'check points', khidmat nasihat dan sebagainya.

BERPELUANG menyaksikan 'Wagah Border Lowering Flag Ceremony' di sempadan Pakistan-India.
BERPELUANG menyaksikan 'Wagah Border Lowering Flag Ceremony' di sempadan Pakistan-India.

1. Punjab

Lahore, ibu negeri wilayah Punjab. Taman Mughal ini mempunyai penduduk kedua teramai di Pakistan. Bagi penulis, Lahore ialah sebuah bandar 'antik' kerana didiami sekurang-kurangnya 2,000 tahun.

Menurut sejarah, Lahore pernah menjadi ibu negara kepada beberapa empayar unggul dan yang terakhir sebelum kedatangan Inggeris ialah ibu negara empayar Sikh yang mengambil alih pemerintahan dari kerajaan Mughal. Lahore juga diiktiraf sebagai 'City of Literature' oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (Unesco).

Selama tiga hari di Lahore, penulis sempat melawat beberapa tempat yang wajib dilawati seperti Masjid Badshahi (pemegang rekod masjid terbesar di dunia selama 313 tahun), Lahore Fort (bersebelahan Masjid Badshahi), Minar e Pakistan (berdekatan Masjid Badshahi dan Lahore Fort), Delhi Gate (terdapat puluhan tarikan di sekitar Delhi Gate), menyaksikan 'Wagah Border Lowering Flag Ceremony' di sempadan Pakistan-India dan pada hari terakhir kami ke Unesco Shalimar Garden yang dibina pada 1,600-an dengan menaiki qingqis (beca roda tiga atau tuktuk).

Penulis juga berkesempatan mengunjungi bandar baharu Bahria dan membeli-belah di Packaging Mall, Liberty Market (Gulberg) dan Anarkali Bazar. Selain itu, di wilayah Punjab, terletaknya perusahaan Himalaya Salt dan antara tempat penanaman padi basmati terbaik di sini.

TREK Passu glacier lebih sesuai dengan stamina dan fizikal kami.
TREK Passu glacier lebih sesuai dengan stamina dan fizikal kami.

2. Wilayah Khyber Pakhtunkhwa (KPK)

Peshawar, ibu negeri KPK adalah bandar yang menjadi laluan terus ke Kabul, Afghanistan. Dalam bahasa Sanskrit ia bermaksud bandar manusia. Seperti Lahore, Peshawar juga adalah bandar 'antik' melebihi 2,500 tahun dan masih kekal diduduki sehingga hari ini.

Oleh kerana kesuntukan masa, penulis hanya sempat berada sehari di sini. Oleh itu, jadual lawatan menjadi amat padat, dari awal pagi hingga malam. Penulis melawat bengkel menghias lori, kilang senjata, Khyber Gate, Karkhano Market (yang dibina ketika era Soviet di Afghanistan), Islamia College Peshawar dan melawat bandar lama Peshawar dan sekitar Namak Mandi.

Dalam kalangan pelancong, Peshawar lebih dikenali sebagai destinasi memburu makanan. Roti nan, ayam atau kambing karahi dan kebab antara yang tersohor di sini.

3. Wilayah Gilgit Baltistan (GB)

Di sini penulis melawat dua daerah utamanya iaitu Skardu dan Hunza. Perlu diingat tidak sah lawatan ke Pakistan tanpa ke GB terutama Hunza. GB adalah wilayah paling cantik dan unik yang penulis pernah lawati.

Karakoram Highway (KKH) atau 'Friendship Highway' sepanjang 1,300 kilometer (km) ini, sebahagiannya iaitu 887km terletak di wilayah ini dan bakinya di wilayah Xinjiang di China adalah lebuh raya tertinggi di dunia yang dibina di celah banjaran Karakoram, Hindukush dan Himalaya.

Selain tiga banjaran utama gunung ini, banjaran Pamir juga terletak di GB. Di banjaran ini terletaknya beberapa glasier tersohor atau terbesar dunia, lima gunung yang melebihi ketinggian 8,000 meter, lembah, tasik yang tidak dapat dibayangkan keindahannya dan pastinya penempatan masyarakatnya yang unik.

Kebanyakan tarikan ini boleh diakses dengan jalan raya. Walaupun GB seperti hutan batu, tetapi di sini juga ada pelbagai flora dan fauna yang jarang ditemui dan spesies haiwan terancam seperti harimau bintang salji,

Himalayan Ibex serta biri-biri marco polo.

Walaupun GB agak kering dan terlindung oleh banjaran utama dunia, namun berkat kerajinan, komitmen dan kesungguhan penduduk tempatan berjaya menukar kawasan ini kepada ladang yang subur, dipenuhi tanaman pelbagai buah-buahan seperti pisang kaki, epal, anggur, ceri, pisang, kentang dan sitrus. Ditambah dengan keramahan penduduknya maka tidak hairan GB adalah destinasi impian setiap pelancong ke Pakistan.

4. Bandar raya Islamabad

Bandar raya Islamabad adalah ibu negara Pakistan menggantikan Rawalpindi (sebelumnya Karachi). Pada pemerhatian penulis, Islamabad adalah sebuah bandar raya yang dirancang begitu rapi dengan menitikberatkan kepada pemeliharaan alam sekitar dan pengekalan kehijauan bandar ini. Kos sara hidup di sini lebih tinggi berbanding bandar lain di Pakistan. Dengan masa terhad penulis hanya sempat melawat dua tempat 'wajib singgah'

iaitu Masjid Faisal (Masjid Negara) dan Tugu Pakistan (Pakistan Monument).

5. Sharan Forest, Khyber Pakhtunkhwa (KPK)

Banjir besar di Pakistan pada pertengahan tahun lalu menyebabkan banyak harta benda awam dan infrastruktur rosak. Oleh itu, perancangan asal untuk ke Lembah Swat dan Kalam di KPK tidak dapat diteruskan kerana trafik perlahan disebabkan jalan masih dalam pembaikan, ditambah pula dengan keadaan suhu yang agak sejuk.

Pihak Globetrotters Pakistan memberi pilihan sama ada ingin meneruskan lawatan ke Lembah Swat dan Kalam atau ke hutan alpine Sharan Forest di Paras, Mansehra. Kami memilih untuk ke Sharan Forest sahaja. Untuk ke hutan ini, kami menginap di pekan Balakot dan keesokan pagi ke pekan Paras sebelum menaiki jip ke hutan. Malam sebelumnya hujan lebat di Balakot dan pastinya di hutan sana salji juga turun. Tepat sangkaan kami kerana sepanjang perjalanan mendaki ke Sharan Forest dengan jip, salji turun dengan lebat. Bagi kami, perjalanan ke hutan agak mencabar dan menyeronokkan, tetapi bagi pemandu, ia perkara biasa.

Secara amnya, ramai mengingatkan penulis, lawatan ke tempat yang dinyatakan di atas terutama di bahagian utara agak mencabar yang memerlukan stamina dan ketahanan fizikal yang tinggi. Memang tepat sekali. Bagi penulis, ia turut bergantung kepada 'mood' yang perlu sentiasa berfikiran positif dan bersedia berdepan segala kesulitan.

Pemilihan jadual lawatan yang sesuai dengan keupayaan, umur, keinginan dan keutamaan adalah perkara paling penting. Kita boleh memilih tempat yang boleh diakses dengan kenderaan dan dapat merehatkan minda untuk menjadikannya satu percutian yang tidak akan dilupakan.

Namun, bagi yang mempunyai keinginan melakukan aktiviti lasak seperti mendaki, bagi penulis, Pakistan mempunyai banyak lokasi pilihan terbaik. Segala penat lelah dan kos yang dikeluarkan akan memberi pulangan pengalaman yang sukar diperoleh di tempat lain.

Kesimpulannya, penulis bersetuju dengan pendapat pemandu pelancong, Pakistan adalah sebuah negara yang dipandang rendah, tetapi penuh dengan kepelbagaian. Maka tidak hairan ada dalam kalangan pelancong akan membuat lawatan ulangan pada setiap musim, sama ada ke tempat yang sama untuk mendapatkan suasana yang berbeza atau ke tempat yang tidak dapat dilawati di musim lain terutama di bahagian utara Pakistan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 7:00 AM