DUA pemain THT (jersi kuning) mengasak pemain TNB  pada aksi  Liga Hoki Malaysia.
DUA pemain THT (jersi kuning) mengasak pemain TNB pada aksi Liga Hoki Malaysia.

Kuala Lumpur: Terengganu Hockey Team (THT) terus memberi tekanan kepada Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) di tangga teratas liga apabila mencatat kemenangan 4-2 ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada saingan Liga Hoki Malaysia (LHM), semalam.

Penyerang negara Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil meletakkan THT di depan seawal minit keenam menerusi jaringan padang, tetapi TNB berjaya menyamakan kedudukan empat minit kemudian menerusi Muhammad Azammi Adabi.

Bagaimanapun THT kembali di depan menerusi gol Fitri Saari pada minit ke-22 dan Firhan Ashari minit ke-39 sebelum Tengku Ahmad Tajuddin menambah gol keempat pada minit ke-55.

Shahril Saabah sekadar menambah gol kedua TNB seminit sebelum tamat perlawanan.

“Satu lagi perlawanan yang berkualiti. Saya harap pemain dapat meneruskan momentum ini pada perlawanan seterusnya,” kata jurulatih THT Sarjit Singh.

Dalam satu lagi perlawanan, UniKL mengikat Sapura 3-3 sekali gus meraih mata kedua mereka setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:13 AM