Virginia: Satu mayat seberat 362 kilogram menyebabkan sebuah pusat membakar mayat di sini terbakar, kelmarin.

Kebakaran di Pusat Khidmat Membakar Mayat Southside itu bermula tengah hari sebaik pekerja mula membakar mayat berkenaan.

Menurut pengurusnya, Jerry Hendrix Sr, jumlah lemak pada mayat berkenaan mengeluarkan haba dan minyak berlebihan sebaik ia dibakar.

Penduduk sekitar dapat melihat kepulan asap keluar dari pusat berkenaan.

“Mayat itu terlalu gemuk hingga menyebabkan lemak di dalamnya memancut ke atas, mengena siling yang diperbuat daripada getah.

“Itu yang menyebabkan kebakaran. Ia tidak ada kena mengena dengan kecuaian pekerja kami,” kata Hendrix.

Bomba dipanggil untuk membantu memadamkan kebakaran itu dan mereka berjaya mengawalnya dalam masa setengah jam.

“Pekerja saya melakukan apa yang sepatutnya. Sebaik dibakar, mayat itu mengeluarkan lemak dan ia memancut hingga ke siling.

“Kerana habanya yang terlalu panas, ia menyebabkan kebakaran.

“Apa yang terfikir oleh kami ketika itu ialah menelefon bomba,” kata Hendrix.

Tiga pekerja yang berada dalam pusat itu terselamat.

Tiga mayat lain juga berada di dalam, menanti giliran untuk dibakar.

Pusat berkenaan bagaimanapun dibenar meneruskan pembakaran ketiga-tiga mayat terbabit beberapa jam selepas kejadian berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 11:33 PM