FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Suraya Roslan


Putrajaya: Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu kebakaran Darul Quran Ittifaqiyah (DQI), Kampung Datuk Keramat, tujuh tahun lalu adalah jenayah terancang apabila mengorbankan nyawa 23 anak tahfiz yang ditemui rentung sehingga mayat tidak dapat dicam.

Timbalan Pendakwa Raya How Mei Ling berhujah seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz itu adalah mangsa kekejaman sangat serius kerana dibakar hidup-hidup, manakala sebahagiannya lemas akibat asap.

Katanya, keterangan menunjukkan dua tong gas masing-masing seberat 14 kilogram diletakkan di depan pintu bilik asrama - satu-satunya jalan keluar sebelum melepaskan gas ketika penghuni-penghuninya sedang nyenyak tidur.

"Pelakunya memilih untuk meletakkan kedua-dua tong gas di tingkat dua, bukan di bahagian halaman tingkat bawah kerana menyedari aras berkenaan menempatkan bilik asrama.

"Perbuatan pelaku adalah satu jenayah terancang yang mengorbankan penghuni pusat tahfiz itu dalam satu malam," katanya ketika berhujah dalam rayuan seorang pemuda berusia 22 tahun yang disabitkan membunuh 23 penghuni pusat tahfiz berkenaan.

Lelaki berkenaan merayu perintah dan sabitan dipenjara selama mana yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong agar diketepikan.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan akhir lelaki berkenaan.

Dalam penghujahannya, How memohon perintah itu dikekalkan dengan mengambil kira faktor kepentingan awam serta keluarga yang menghantar anak-anak mereka berusia enam hingga 16 tahun ke pusat tahfiz itu.

Beliau turut menggambarkan rentetan kejadian berhubung penemuan mayat semua mangsa dalam keadaan rentung dan mengerekot sambil berpelukan kerana dibakar hidup-hidup serta mereka tidak boleh keluar dan hanya menunggu untuk diselamatkan.

Katanya, keadaan mayat mangsa sangat menyayat hati sehingga menggagalkan usaha pengecaman oleh pihak bomba dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terpaksa dilakukan.

"Ketika pihak bomba tiba, tiada lagi bunyi teriakan, yang tinggal hanya suasana sepi yang menyeramkan," katanya.

Terdahulu, How berhujah pihak pendakwaan mengemukakan keterangan mengikut keadaan yang kukuh bahawa lelaki itu bertanggungjawab menyebabkan kebakaran terbabit.

Menurutnta, perayu adalah pihak yang bertanggungjawab memanjat pagar belakang tahfiz untuk memulakan kebakaran dan perbuatan itu dilihat oleh dua saksi penting pendakwaan iaitu SP68 dan SP69.

Katanya, tiada asas bahawa kedua-dua saksi itu berniat memerangkap perayu dengan memberi keterangan sedemikian kerana mereka bersahabat baik.

Sementara itu, peguam Haijan Omar yang mewakili perayu berhujah, keterangan ikut keadaan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan, tidak cukup kuat untuk mensabitkan anak guamnya terhadap kesalahan.

Hujah Haijan, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tidak menunjukkan anak guamnya yang membawa botol mineral mengandungi petrol ke tingkat dua asrama itu.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, ketika berbual di kedai makan berdekatan tempat kejadian, semua saksi mengesahkan tiada perbualan untuk membakar tahfiz dibuat.

"Mereka hanya berbual untuk main snuker dan tiada niat untuk membakar kecuali timbul perkataan 'belilah petrol' daripada seorang individu yang tidak dapat dikenal pasti.

"Seorang saksi pakar forensik juga menyatakan kebakaran mula berlaku pada 5.25 pagi sedangkan rakaman CCTV menunjukkan anak guam saya beredar dari kawasan itu pada 4.48 atau 4.49 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 3:47 PM