KATIL di asrama perempuan UPNM yang terbakar, semalam.
KATIL di asrama perempuan UPNM yang terbakar, semalam.
Nur Sufiah Abd Halim

Kuala Lumpur: Tindakan pantas penghuni asrama perempuan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini, memadamkan kebakaran di sebuah bilik berjaya menghalang tragedi lebih besar berlaku.

Dalam kejadian jam 3 petang semalam, sebuah kipas siling di bilik itu terbakar sebelum api merebak dan membakar katil berhampiran.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Zamani Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 3.47 petang.

“Seramai sembilan anggota bomba bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di sana, kami mendapati kipas siling dan satu katil penghuni terbakar 100 peratus,” katanya.

Zamani berkata, kebakaran itu berjaya dipadamkan penghuni di asrama berkenaan yang menyedari kejadian berkenaan.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 5:25 AM