Jakarta: Polis Indonesia mengesahkan tiga penyerang nekad meletupkan diri mereka dalam serangan bom dekat kompleks beli belah Sarinah Mall di Jalan Thamrin, di sini, tidak jauh dari Kedutaan Amerika Syarikat dan istana presiden dengan seorang dalam kafe Starbucks dan dua lagi dalam pondok polis berhampiran.

Lima penyerang serta dua orang awam, seorang rakyat Belanda dan seorang rakyat Indonesia disahkan terbunuh manakala 10 lagi cedera, termasuk serang rakyat Belanda dan seorang rakyat Algeria.

Lima jam selepas letupan pertama kira-kira jam 11.50 pagi waktu Malaysia menyebabkan kawasan sekitar Sarinah Mall bertukar menjadi medan pertempuran, polis mengisytiharkan kawasan itu kini selamat.

Jurucakap polis Indonesia, Jeneral Anton Charilyan, berkata tiga penyerang nekad dan dua lagi penyerang bersenjatakan pistol melakukan serangan itu.

Seorang penyerang nekad meletupkan bom dalam Starbucks dan ketika letupan itu, dua penyerang yang menunggu di luar, masuk ke dalam Starbucks dan menahan seorang lelaki Algeria serta seorang rakyat Belanda sebagai tebusan. Mereka menembak mati rakyat Belanda berkenaan.

Seorang rakyat Indonesia yang dikatakan cuba membantu juga ditembak mati manakala rakyat Algeria berkenaan cedera.

Selepas letupan itu, polis menyerbu kawasan berkenaan dan menembak mati penyerang terbabit

“Tidak lama kemudian, dua lelaki menaiki motosikal datang dan berlari ke pos polis berhampiran sebelum meletupkan diri mereka,” kata Anton.

Menurutnya, empat anggota polis yang berada dalam pos berkenaan kini dalam keadaan kritikal.

Beliau berkaya, selain dua letupan oleh tiga penyerang nekad itu, empat lagi bom diletupkan ketika serangan dengan satu dalam Starbucks selepas letupan oleh penyerang nekad dan ketika tembak menembak antara polis dengan penyerang.

“Polis menemui dua lagi bom yang dipercayai mahu diletupkan mereka, dua bom besar,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 7:11 PM
Kenderaan berperisai milik tentera Indonesia ditempatkan di kawasan serangan bagi menghadapi sebarang kemungkinan. - Foto REUTERS
Kenderaan berperisai milik tentera Indonesia ditempatkan di kawasan serangan bagi menghadapi sebarang kemungkinan. - Foto REUTERS
Anggota skuad pemusnah bom tentera Indoensia membuat persiapan  sebelum memasuki kawasan serangan bagi mencari bom, - Foto EPA
Anggota skuad pemusnah bom tentera Indoensia membuat persiapan sebelum memasuki kawasan serangan bagi mencari bom, - Foto EPA
Anggota keselamatan Indonesia memenuhi kawasan serangan sekitar Sarinah Mall bagi memastikan keselamatan. - Foto EPA
Anggota keselamatan Indonesia memenuhi kawasan serangan sekitar Sarinah Mall bagi memastikan keselamatan. - Foto EPA