Seorang anggota pasukan khas polis membuat persediaan untuk berkawal di Lapangan Terbang Ngurah Rai, Denpasar. - Foto AFP
Seorang anggota pasukan khas polis membuat persediaan untuk berkawal di Lapangan Terbang Ngurah Rai, Denpasar. - Foto AFP
Selain polis, anggota tentera Indonesia juga berkawal di lokasi strategik, termasuk Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Tangerang, pinggir Jakarta. - Foto AFP
Selain polis, anggota tentera Indonesia juga berkawal di lokasi strategik, termasuk Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Tangerang, pinggir Jakarta. - Foto AFP
Anggota pasukan khas polis Indonesia membuat persiapan senjata berat untuk berkawal di Lapangan Terbang Ngurah Rai, Denpasar, hari ini. - Foto AFP
Anggota pasukan khas polis Indonesia membuat persiapan senjata berat untuk berkawal di Lapangan Terbang Ngurah Rai, Denpasar, hari ini. - Foto AFP

Jakarta: Polis Indonesia menahan tiga lelaki pagi ini, kerana disyaki mempunyai kaitan dengan serangan bom di Jalan Thamrin di sini, semalam, serta menemui bendera Negara Islam (IS) di rumah salah seorang penyerang.

Menurut AFP, Pengarah Siasatan Jenayah Polis, Kolonel Khrisna Murti, berkata penahanan tiga lelaki itu dilakukan di rumah mereka di Depok, pinggir Jakarta.

Jurucakap polis Indonesia, Mejar Jeneral Anton Charliyan, berkata satu bendera hitam IS ditemui di rumah seorang penyerang dan polis yakin sudah mengenal pasti identiti penyerang terbabit dengan dua daripada mereka pernah dipenjara kerana kesalahan keganasan.

Lima lelaki melakukan serangan di kawasan sekitar Sarinah Mall semalam, tiga daripadanya penyerang nekad meletupkan diri mereka dalam kafe Satrbucks dan pondok polis berdekatan menyebabkan dua orang awam terbunuh - seorang rakyat Kanada dan seorang Indonesia. Dua lagi penyerang juga meletupkan diri mereka selepas dikepung polis.

AP melaporkan Anton berkata, jumlah mangsa yang cedera dalam kejadian itu meningkat daripada 20 kepada 24 termasuk tiga rakyat asing dan enam polis.

Berikutan serangan itu, Indonesia meningkatkan kawalan di seluruh negara termasuk menempatkan tentera di kawasan strategik.

Anton yang memberitahu amaran sudah disebarkan ke seluruh Indonesia berkata: “Polis berjaga-jaga sepenuhnya, terutama di kawasan yang dianggap menjadi sasaran pengganas, termasuk balai polis, pejabat kerajaan dan kedutaan dengan sokongan tentera.”

Kenderaan tentera membawa anggota bersenjata lengkap dilihat melalui jalan di tengah Jakarta serta anggota keselamatan yang membawa raifal dilihat meronda sekitar kedutaan dan kawasan pelancongan.

Polis mengesyaki serangan itu didalangi ekstrimis Bahrum Naim yang menubuhkan Katibah Nusantara bagi membawa pejuang Indonesia dan Malaysia ke Syria untuk IS. Bahrum dipercayai berada di Syria. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 3:45 PM