AP

Barcelona: Penyerang Barcelona Luis Suarez (gambar dua dari kanan) dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan Copa del Rey selepas didapati bersalah menghina pemain lawan.

Laporan pengadil selepas perlawanan berlangsung tegang di Camp Nou menyaksikan Barcelona menang 4-1 menyebut, Suarez menghina pemain Espanyol itu ketika mereka melalui terowong untuk ke bilik persalinan.

Laporan disediakan pengadil Juan Martinez Munuera menyebut Suarez berkata kepada pemain Espanyol: “Saya menunggu awak, marilah. Awak semua sampah.”

Suarez dilayangkan kad kuning pada perlawanan itu dan rakaman televisyen menunjukkan dia mengejek penjaga gawang Espanyol Pau Lopez selepas Lionel Messi menjaringkan gol menerusi sepakan percuma sebelum rehat.

Penggantungan itu akan menyaksikan penyerang Uruguay berkenaan tidak boleh diturunkan pada perlawanan kedua di stadium Espanyol minggu depan serta aksi suku akhir pertama jika pasukannya layak.

Hukuman itu penggantungan pertama Suarez sejak digantung empat bulan kerana menggigit pemain Itali di Piala Dunia 2014. Bekas pemain Liverpool itu pernah dikenakan penggantungan atas pelbagai masalah termasuk menggigit lawan selain isu perkauman.

Barcelona dalam satu kenyataan selepas membuat rayuan terhadap hukuman itu, menafikan Suarez menghina pemain lawan dengan menggunakan kata-kata seperti yang tertera dalam laporan pengadil.

Pada perlawanan itu, dua pemain Espanyol Papakouly Diop dan Hernan Perez diarah keluar padang dan kedua-duanya tidak boleh bermain pada aksi kedua nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2016 @ 5:04 AM