SUAREZ tidak kisah jadi pembantu Messi dan Neymar di Barcelona.
SUAREZ tidak kisah jadi pembantu Messi dan Neymar di Barcelona.

Hanya tujuh gol daripada 22 perlawanan bersama Barcelona pasti membuat ramai beranggapan bekas penyerang Liverpool, Luis Suarez, kini bergelut untuk menyesuaikan diri dengan kelab baru.

Malah dengan empat gol daripada 15 perlawanan La Liga, ia mungkin musim yang kurang produktif sepanjang karier Suarez.

Begitupun angka tidak menjelaskan keseluruhan cerita. Hakikatnya, Suarez pantas membina namanya sebagai anggota pasukan yang memenangi 11 perlawanan berturut-turut sebelum kekalahan mengejutkan 0-1 kepada Malaga di tempat sendiri.

Namun, statistik lain yang lebih tepat menggambarkan perjalanan awal pemain berusia 28 tahun itu di Sepanyol, bukannya kekurangan jaringan.

Ada kemungkinan tugasnya sudah bertukar sebaik meninggalkan Anfield untuk ke Nou Camp, menerusi 12 bantuan jaringan untuk rakan sepasukan dalam semua kejohanan.

Inilah Luis Suarez yang baru. Lelaki yang digelar jentera gol, menamatkan musim lalu sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris kini semakin hilang.

Dia kini digantikan dengan pemain yang bekerja keras, mempunyai semangat sepasukan dan fungsi utamanya adalah membantu rakan sepasukan Lionel Messi dan Neymar dan bukan memburu gol peribadi.

Dia juga menggalas tugas penting dalam rombakan salah satu pasukan terhebat dunia.

Sebaik ketibaan Suarez di Barcelona, pengurus baru kelab itu, Luis Enrique tercari-cari cara untuk memanfaatkan pemain itu memandangkan betapa kuatnya pengaruh Messi dalam posisi serangan tengah.

Malah selepas Suarez mengakhiri penggantungan empat bulan kerana menggigit pertahanan Itali, Giorgio Chiellini di Piala Dunia dengan membuat penampilan sulungnya me­nentang Real Madrid, Oktober lalu, masih belum dapat dipastikan sama ada dia akan bermain sebagai penyerang tengah atau sayap kanan, tersepit di antara kedua-dua posisi dalam beberapa penampilan pertamanya.

Sebaik 2015 dimulai dengan kekalahan 0-1 kepada Real Sociedad untuk mencetuskan krisis kecil di Nou Camp, Enrique mengubah taktiknya dan menggunakan sistem di mana Suarez berada di tengah, Messi di sayap kanan dan Neymar di sayap kiri.

Sebelum kekalahan Sabtu lalu, keputusan perlawanan boleh dianggap membanggakan apabila Barca menang 11 perlawanan berturut-turut dengan Messi beraksi cemerlang dan menjaringkan 14 gol daripada 10 perlawanan.

Untuk menunjukkan betapa bahagianya Suarez di ‘Barcaland’, akhbar Sports Rabu lalu meletakkan wajahnya di muka depan dengan tajuk berita: “Pemain No 9 paling ideal buat Messi”.

Akhbar itu melaporkan bahawa Suarez ‘sudah pun menyesuaikan diri dengan sistem permain Leo’ dan memuji tindakannya ‘mengatur kedudukan bek tengah, membaca pergerakan rakan sepasukan dan tidak perlu bimbang untuk bekerja keras’.

Pada hari sama, satu lagi akhbar ynag diterbitkan di Barcelona, Mundo Deportivo, menyiarkan wawancara dengan bekas penyerang Barca dan Sporting Gijon, Quini, pernah menjadi penjaring terbanyak La Liga dalam lima kejohanan dari 1973 hingga 1982 dan terus dihormati di Sepanyol. Suarez turut menerima pujian melangit daripada beliau.

“Sejujurnya, saya fikir dia adalah pemain nombor sembilan paling ideal buat Barca atas apa yang disumbang­kan kepada pasukan,” kata Quini.

“Anda perlu melihat aksinya untuk memahami kualiti yang dimilikinya di situ, bagaimana dia bergerak, ruang yang dicipta untuk rakan sepasukan dan bagaimana dia boleh menjaringkan gol dari mana-mana posisi.”

Enrique turut mengkaguminya, berulangkali mempertahankan penyerang itu ketika ketandusannya di depan gol dan memuji keupayaanya untuk mencipta peluang buat Messi dan Neymar.

“Biarpun dia tidak menjaringkan gol, banyak yang disumbangnya kepada pasukan,” kata pengurus Barca itu bulan lalu.

“Tidak ramai pemain di dunia yang memberikan pergerakan serupa di kawasan penalti dan saya amat menghargainya.”

Di Liga Perdana Inggeris, dia sentiasa menjadi sasaran, baik di padang apabila pertahanan mengenalinya sebagai penjaring terhebat Liverpool, dan secara metafora di luar padang oleh media dan penyokong yang menganggpany sebagai watak jahat.

Namun di Barcelona, Suarez hanya watak pembantu apabila Messi lebih mendapat perhatian pasukan lawan manakala gaya permainan Neymar yang sentiasa menghadirkan di padang, mengundang ejekan penyokong lawan di laman mereka.

Sewaktu Barcelona diselubungi pelbgai kontroversi di sebalik tabir membabitkan, penggantungan perpindahan pemain oleh FIFA, pemilihan presiden, dakwaan mengelak cukai, laporan perselisihan di antara Messi dan Enrique, Suarez lebih senang menjalankan tugasnya secara senyap.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 7:53 AM